Thursday, January 21, 2016

Tiada tindakan disiplin pada ketua bahagian Kedah

Isu tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap 14 ketua bahagian Umno di Kedah yang menghadiri sidang media menggesa perubahan Menteri Besar Kedah semalam tidak timbul, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Setiausaha Agung Umno itu, ibu pejabat parti berkenaan memantau sidang media yang diadakan di Alor Setar semalam.

"Mereka telah meminta agar Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) melakukan perubahan terhadap kepimpinan tertinggi parti di Kedah yang menurut mereka gagal menggerakkan Umno dan gagal sebagai menteri besar.

"Mereka berharap Presiden Umno dapat segera membuat perubahan demi kelangsungan parti dan kepentingan rakyat Kedah.

"Justeru itu, tidak timbul (isu) Setiausaha Agung Umno perlu mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang ketua bahagian tersebut," katanya dalam kenyatan dimuat naik di laman web Umno Online.

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu dibuat beberapa jam selepas Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) meminta tindakan disiplindikenakan ke atas ketua-ketua bahagian yang menyatakan pendirian mereka terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, sebelum ini sembilan ketua cawangan Umno Teluk Kemang digantung hak ahli mereka selama enam tahun kerana mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya parti tersebut mengambil tindakan sama ke atas ketua-ketua bahagian yang hadir pada sidang media di Alor Setar semalam.

"Kami mahu supaya mereka juga diambil tindakan oleh tribunal disiplin parti.

"Tak boleh amalkan pilih kasih dalam membuat keputusan. Apa yang kami mahu di sini ialah keadilan yang saksama.

"Jika ketua cawangan Teluk Kemang dijatuhi hukuman sehingga enam tahun, kami mahu enam tahun juga dijatuhi pada semua yang ada di Alor Setar semalam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-