Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, January 5, 2016

Untuk apa Pas perlu bekerjasama dengan Pakatan Harapan? - Iskandar

AIDCNEWS

BNBBC.my – Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad memberi ingatan supaya semua pihak berhenti berharap yang PAS akan bergabung dengan Pakatan Harapan, (PH).

Menurutnya, tiada keuntungan yang akan diperolehi jika bergabung dengan tiga parti dalam PH itu jika akan terus dipergunakan serta sekadar menjadi kuda tunggangan DAP seperti sebelum ini.

“Apa guna sertai Pakatan Harapan? PAS telah putus dengan DAP dan sentiasa diserang oleh AMANAH dan DAP.

“Bagaimana hendak bekerjasama?”soalnya menerusi WhatsApp kepada BNBBC.my bagi mengulas harapan pelbagai pihak yang masih menginginkan penggabungan di antara PAS dengan Pakatan Harapan.

Pada peringkat permulaan, PKR mengumumkan gabungan tersebut bersama DAP dan AMANAH bagi menggantikan PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melalui akaun twitternya menyatakan yang beliau berharap gabungan baharu itu akan dapat membawa fenomena baharu dengan adanya AMANAH yang mampu menarik undi bangsa Melayu sebagai ganti kepada PAS.

Kenyataan itu bagaimanapun mula bercanggah apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan yang pihaknya masih mengharapkan PAS menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan kemudiannya memberi kata putus bahawa parti itu tidak akan sesekali menyertai gabungan Pakatan Harapan.

Ini kerana jelas Takiyuddin, PAS tidak mahu lagi bersekongkol dengan DAP yang sering menyerang parti Islam itu dan menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan mereka.

Terbaru, bekas pengasas bersama kelab penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk PAS bergabung dengan Pakatan Harapan jika Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak memegang jawatan Presiden parti Islam itu.

“Hu Pang Chaw cakap seolah-olah PAS hendak sangat menyertai Pakatan Harapan, macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“Dan saya nak nyatakan, bukan Presiden yang tak mahu sertai tetapi hasrat pimpinan lain juga,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.