Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, February 11, 2016

Biar ahli tentukan, Amanah atau PAS, kata pemimpin

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata PAS harus membiarkan ahli membuat pilihan sendiri berdasarkan kepada keyakinan masing-masing.Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 11 Februari, 2016.

Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat, isu membabitkan ahli mereka yang didakwa kembali semula kepada PAS tidak perlu diperbesarkan, memandangkan menjadi hak ahli memilih parti yang ingin disertai.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, mereka menghormati keputusan ahli masing-masing dan mengharapkan pemimpin PAS juga mengamalkan keterbukaan dalam hal itu.

"Saya merasakan, jika ia benar, tidak menjadi masalah (untuk ahli Amanah masuk PAS) dan ini negara demokrasi, kita hormat pilihan masing-masing.

"Kita harapkan PAS juga mempunyai sikap seperti itu. Biar ahli pilih sendiri berdasarkan kepada keyakinan masing-masing," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Amanah, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, PAS juga tidak seharusnya "mengikat" ahli masing-masing, sebaliknya perlu membiarkan mereka memilih dengan terbuka.

"Tidak perlu nak ikat dengan tuduhan-tuduhan khianat, langgar baiah. Biar mereka pilih atas keyakinan masing-masing.

"Jika ada orang Amanah hendak kembali kepada PAS, silakan. Buat apa yang kamu yakin adalah yang terbaik.

"Kalau ada orang PAS hendak masuk Amanah, kita harap pihak PAS mempunyai sikap yang terbuka dan menerima kita semua ini sebagai bersaudara, memperjuangkan dasar Islam untuk kebaikan negara dan umat," katanya.

Isu itu dibangkitkan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini, yang mendakwa ditemui beberapa ahli Amanah yang ingin kembali semula kepada parti itu.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, pihaknya berpendapat tidak perlu menyiasat kenyataan itu.

"Kami tidak perlu buang masa menyiasat perkara itu.

"Apa yang saya boleh yakinkan pada hari ini adalah, yang hendak masuk Amanah ramai daripada PAS, sebab itu ada istilah harum manis.

"Itu yang setiausaha agung (PAS) kena lihat," katanya.

Salahuddin dalam sidang media itu berkata, pihaknya juga difahamkan PAS kini sedang merangka peraturan bagi mengelakkan ahlinya dari menyertai Amanah.

"Mereka ini sekarang dalam proses membuat peraturan, mengeluarkan surat amaran, termasuk tidak boleh pergi ceramah Amanah.

"Dan mungkin minum kopi dengan kami juga akan diambil tindakan. Jadi, itu sebenarnya gambaran yang berlaku," kata Salahuddin.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak teruja dengan perkara itu.

"Bagi saya, kita tidak akan teruja. Dan kita tidak akan buang masa melayan tuduhan seperti itu," katanya. – 11 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/biar-ahli-tentukan-amanah-atau-pas-kata-pemimpin#sthash.e1bPdLUI.dpuf