Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, February 29, 2016

Isu Muhyiddin hanya perkara kecil

W.SAIDATUL NAJEMUDIN
29 FEBRUARI 2016
Muhyiddin Yassin
KUALA TERENGGANU – Kontroversi penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno dianggap tidak lebih sebagai isu disiplin yang melanda parti Umno.

Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw berkata, tindakan disiplin adalah perkara biasa berlaku dalam mana-mana parti dan beliau percaya, pucuk pimpinan parti itu sudah mengambil kira pandangan ramai di samping mahu mengelak masalah besar dalam Umno sekiranya tindakan segera tidak diambil.

Beliau berkata, isu penggantungan Muhyiddin itu tidak memberi kesan besar kepada BN dan tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti komponen BN lain termasuk MCA.

“Saya percaya Umno sudah bincang lama perkara ini dan sudah ambil langkah-langkah yang perlu diambil dan keputusannya Muhyiddin digantung jawatan. Ini perkara kecil. Tiada isu sebenarnya.

“Ia juga tidak akan menarik sokongan rakyat terhadap Muhyiddin disebabkan keputusan itu kerana jika berlaku, sudah tentu rakyat sudah melakukannya selepas nama beliau digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet Kerajaan yang dirombak, Julai tahun lepas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sehubungan itu, Chin Yaw yang juga Ahli Jawatankuasa MCA Pusat menjelaskan bahawa perkembangan itu sebenarnya menunjukkan bahawa sokongan rakyat masih lagi berpihak kepada Pengerusi BN dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun katanya, isu yang lantang dimainkan Muhyiddin dengan mengaitkan Najib dengan 1MDB dan RM2.6 bilion itu boleh mengikis kepercayaan rakyat ekoran kemelut berpanjangan melibatkan dua pucuk pimpinan utama parti itu.

“Kalau tidak diambil tindakan, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar. Jadi, pihak terlibat mengambil langkan yang bijak bagi menangani perkara ini,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatan Timbalan Presiden Umno selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara menyokong usul itu yang dibawa secara bersama oleh semua ahli MT dalam satu mesyuarat, Jumaat lalu.

Setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang mengumumkannya berkata, MT Umno bersetuju sebulat suara menggantung jawatan Timbalan Presiden Umno disandang Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.