Thursday, February 25, 2016

'Jangan biar Muhyiddin serang Presiden Umno'

ATIRAH HASLI
25 FEBRUARI 2016
SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerang dengan pelbagai tuduhan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa fakta merupakan perkara yang tidak boleh diterima.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jika ia dibiar berterusan, krisis tersebut akan mengheret parti ke aras sokongan politik yang sukar.

“Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai kedudukan Timbalan Presiden Umno yang buat sekian lama tidak pernah berhenti membuat serangan kepada institusi Presiden Umno.

“Rakyat sedang memerhati tindakan dan bagaimana kita menyantuni pemimpin dan pejuang lama. Ya, mungkin kita boleh berbeza pandangan dalam perkara tertentu, tetapi menyerang Presiden Umno dengan tuduhan yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran adalah satu yang tidak boleh diterima,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau secara peribadi turut menyokong kepada usaha tindakan disiplin parti dikenakan terhadap Muhyiddin.

Menurutnya lagi, tindakan itu perlu dilakukan demi keutuhan dan kelangsungan perjuangan parti.

“Saya amat mengharapkan, agar Majlis Tertinggi Umno dapat mengambil pendirian yang tegas, berasaskan konsensus, bahawa tindakan menyerang Presiden ini mesti ditamatkan segera.

"Sebarang tindakan terhadap Timbalan Presiden, mahupun sesiapa sahaja ahli parti, mestilah berasaskan kepada 'Perlembagaan' dan 'peraturan' jelas yang ada di dalam parti.

“Ini tidak bermakna saya tidak menghormati pandangan Timbalan Presiden. Tetapi, dalam sebuah organisasi, kita tidak boleh terus-terusan berada di dalam keadaan yang serba defensif dan serba salah,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-