Sunday, February 21, 2016

Keputusan tangguh kemasukan pekerja asing hanya drama, kata Ibrahim Ali

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa keputusan membeku kemasukan pekerja asing hanya untuk meredakan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Inisder, 21 Februari, 2016.

Rakyat diminta tidak terlalu teruja dengan keputusan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja warga asing kerana ia disifatkan presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hanya drama bagi meredakan kemarahan rakyat.

Menerusi video dimuat naik blogger Minaq Jinggo, Ibrahim mendakwa, kerajaan sebenarnya akan tetap meneruskan kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh meskipun wujud arahan pembekuan.

"Rakyat jangan bertepuk tangan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi buat pengumuman menghentikan kemasukan 1.5 tenaga pekerja asing.

"Kita jangan mudah teruja dengan drama, di mana, setakat penangguhan ini, untuk meredakan kemarahan rakyat.

"Tetapi sebenarnya, pekerja akan tetap dibawa masuk dengan jumlah 1.5 juta," katanya dipetik daripada video tersebut.

Tambahnya, kerajaan sebelum ini juga ada mengumumkan pemansuhan sementara kemasukan pekerja asing namun ia diteruskan secara senyap-senyap.

"Dulu pun Kabinet kata bekukan, tetapi dalam senyap-senyap meneruskan, termasuk kuota pekerja asing, peringkat demi peringkat, sampai kita lihat, berapa banyak jumlah membanjiri negara kita hari ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh bagi memenuhi permintaan majikan dan industri.

Ia menerima bantahan pelbagai pihak tetapi satu memorandum persefahaman tetap ditandatangani antara Putrajaya dan Dhaka pada 18 Februari lalu.

Bagaimanapun, keesokan harinya Zahid mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, termasuk Bangladesh, sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja asing itu.

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa kerajaan menghentikan drama memutar belit serta mengelirukan rakyat dengan keputusan yang tidak tetap.

“Jangan terus bermain drama, terus memutarbelitkan rakyat, kerana yang kita nak lihat, pembatalan terus secara muktamad, tidak ada lagi pekerja warga asing.

“Masalah kekurangan pekerja boleh kita uruskan dengan cara yang lain, banyak lagi kaedah dan bukan dengan jalan mudah,” katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/keputusan-tangguh-kemasukan-pekerja-asing-hanya-drama-kata-ibrahim-ali#sthash.0fthSNC7.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-