Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, February 27, 2016

Kita bukan kerajaan kuku besi, diktator, kata Najib

Anne Muhammad
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menegaskan bahawa kerajaan yang dipimpinnya bukanlah sebuah kerajaan diktator dan kuku besi.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan mengutamakan kestabilan politik selaras dengan demokrasi berparlimen.

"Kita bukan kerajaan kuku besi dan mengamalkan 'dictatorship'.

“Kita adalah kerajaan yang menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen di mana setiap lima tahun kita akan kembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dikehendaki," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Kompleks Muhibbah di PPR Muhibbah, Puchong hari ini.

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara ini sedang menuju ke arah negara diktator seperti Korea Utara.

Mahathir dilaporkan berkata, rakyat kini bimbang diheret ke mahkamah atau dipenjarakan jika mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi Najib.

Sementara itu, Najib yang juga menteri kewangan menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan tumbang adalah meleset.

"Sesiapa yang uar-uarkan kerajaan tumbang itu meleset.

"Apa yang boleh saya katakan, Belanjawan lalu diluluskan Parlimen dengan majoriti yang besar, begitu juga dengan rang undang-undang negara boleh diluluskan Parlimen.

"Maknanya kita tidak bimbang dari segi kestabilan politik ," katanya.