Thursday, February 25, 2016

Konflik DAP, PKR - Budayakan tatacara politik baru

Ketika pemimpin kanan parti gabungan Pakatan Harapan semakin panas bertelagah, anak muda Parti Amanah Negara (AMANAH) tampil memberi 'nasihat' untuk merungkai masalah dihadapi.

Dalam kenyataannya hari ini Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata parti dalam Pakatan Harapan mempunyai kaedah yang tersusun untuk menangani sesuatu isu.

Selain memudahkan krisis yang berlaku diatasi secara baik, parti terbabit juga perlu membudayakan tatacara baru dalam berpolitik.

Justeru, katanya, mereka perlu kembali kepada dasar Perjanjian Pakatan Harapan yang dipersetujui bersama sebelum ini.

"Segala isu politik dan pertikaian dalaman mesti ditangani dengan merujuk kepada Fasal 3 Perjanjian Pakatan Harapan yang memberikan prosedur jelas bagaimana ia harus ditangani," katanya.

Ketika ini PKR dan DAP dilihat sedang bertelingkah mengenai isu pengguguran dua ADUN di Pulau Pinang daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia berpunca daripada sikap lima ADUN daripada PKR yang mengambil pendirian berkecuali dalam undian satu usul dibawa pembangkang Pulau Pinang.

Daripada lima ADUN itu, dua adalah penjawat jawatan pengarah GLC, iaitu wakil rakyat Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dan Ong Chin Wen (Bukit Tengah).

Perkhidmatan mereka sudah ditamatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Shazni Munir berkata, jika formula yang dipersetujui bersama sebelum ini dijadikan keutamaan, Pemuda AMANAH yakin gabungan baru itu akan lebih diyakini rakyat.

Fasal 3 yang dirujuk Shazni Munir adalah peruntukan bertajuk Penyelesaian Pertikaian. Antara lain ia menghuraikan prinsip tolak ansur antara ketiga-tiga parti serta sekatan campur tangan dalam urusan parti rakan.

Sebarang pertikaian berhak untuk diadukan dan sebuah badan perantara dilantik Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengendalikan aduan berkenaan mengikut peruntukan yang ditetapkan.

Fungsi utama badan perantara itu adalah untuk mendamaikan pihak yang terlibat dalam pertikaian melalui penyelesaian dianggap paling adil kepada pihak dan parti terlibat.

Badan perantara itu juga boleh membuat cadangan kepada parti yang diadukan jika ada tindakan tidak wajar diambil dalam mencari penyelesaian yang dibawa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-