Tuesday, February 23, 2016

Laporan akhir ketua audit negara 1MDB akan dibentang awal Mac, kata PAC

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arrifin berkata, pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung 1MDB dijangka akan dibentangkan pada minggu pertama awal Mac ini bagi memastikan semua ahlinya hadir.Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Februari, 2016.

Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC) hari ini mengesahkan penangguhan pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dibentangkan esok dan Khamis.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arrifin berkata, pembentangan laporan itu dijangka akan dibentangkan pada minggu pertama awal Mac ini.

Hasan yang juga ahli Parlimen Rompin berkata, alasan penangguhan laporan itu adalah kerana kekurangan kehadiran ahli PAC.

"Penangguhan dibuat memandangkan ahli PAC berada di luar negara, menunaikan umrah serta ada yang mempunyai komitmen penting.

"Adalah penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1 MDB berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan PAC menangguhkan pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung syarikat sarat hutang1MDB ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Ketua audit negara seharusnya membentangkan laporan audit Jabatan Audit Negara berhubung syarikat pelaburan strategik negara itu esok dan Khamis pada mesyuarat PAC tetapi ahli diberitahu sebaliknya dalam satu mesej lewat malam tadi.

Tidak dapat dipastikan siapa di kalangan ahli PAC yang berada di luar negara atau mengerjakan ibadah umrah memandangkan Parlimen hanya akan bersidang pada 7 Mac.

PAC mempunyai 14 ahli, diketuai Hasan yang menggantikan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana dilantik menjadi timbalan menteri dalam negeri pada Julai lalu.

Empat ahli Parlimen BN menggantikan Nur Jazlan dan 3 lagi yang menyertai pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas rombakan Kabinet mengejut menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal disingkirkan.

Ahli Parlimen PAS juga menggantikan seorang lagi yang meletakkan jawatan kerana menyertai PKR.

Pada 11 Februari, pengerusi PAC berkata, keutamaan pada ketika ini ialah pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung 1MDB kepada jawatankuasa bi partisan itu pada 24 dan 25 Februari. – 23 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/laporan-akhir-ketua-audit-negara-1mdb-akan-dibentang-awal-mac-kata-pac#sthash.RN7JCj0X.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-