Wednesday, February 24, 2016

'Muhyiddin, sila undur atau tanding Presiden Umno'

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
24 FEBRUARI 2016

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa meninggalkan parti atau bertanding untuk jawatan Presiden Umno dalam pemilihan akan datang sekiranya benar-benar tidak sehaluan dengan amalan parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka memberi contoh tidak baik kepada kepimpinan di peringkat akar umbi.

“Melihat kepada perkembangan terkini, saya amat kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno yang sekali lagi secara terbuka mengkritik kepimpinan Presiden Umno. Perbezaan pendapat atau pandangan perlulah melalui saluran yang betul agar tidak berlaku perpecahan dalam Umno.

“Sekiranya beliau benar-benar sudah tidak sehaluan dengan apa yang diamalkan Umno selama ini beliau boleh berundur diri atau mungkin juga boleh menawar diri untuk jawatan Presiden dalam pemilihan parti akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Terbaharu, Muhyiddin mengkritik Najib dalam sebuah Majlis Mencari Kebenaran anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia di Balairaya Taman Intan Duyung, Port Dickson malah beliau mendakwa sehingga kini tidak dibenarkan menjalankan tugasnya sebagai orang nombor dua parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nazri minta Muhyiddin letak jawatan timbalan presiden]‎

Dalam pada itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai orang nombor dua dalam parti, Muhyiddin sepatutnya memainkan peranan sebaik mungkin bagi melicinkan kerja-kerja Najib sebagai Presiden.

“Tan Sri Muhyiddin perlu ingat yang beliau masih lagi menjadi Ahli Parlimen Pagoh atas tiket BN dan jentera BN yang banyak membantu beliau selama hari ini.

“Ingatlah jasa parti terhadap beliau sebarang tindakan yang dilakukan mestilah tidak melemahkan parti dan membawa kepada perpecahan,” katanya.

Tambahnya, “kesetiaan kepada pucuk pimpinan adalah perkara pokok yang menjadi amalan dalam mana-mana parti politik di seluruh dunia. Setiap pemimpin parti juga perlu patuh kepada peraturan dan dasar-dasar parti, kerana perkara itu menjadi tunjang kepada kekuatan sesebuah parti.”

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-