Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, February 19, 2016

Pandangan Majlis Raja-raja beri implikasi politik kepada Najib, kata pakar

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Published: 18 February 2016 5:16 PM

Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari itu berkata, teguran Majlis Raja-raja agar beberapa peruntukan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 diperhalusi bersesuaian dengan peranannya sebagai institusi yang berada di luar kawalan kuasa eksekutif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Februari, 2016.

Pandangan Majlis Raja-raja Melayu mengenai beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 perlu diperhalusi kerana ia memberi implikasi politik cukup besar yang boleh membawa padah kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar Perlembagaan itu membuat perbandingan terhadap RUU 1983 yang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan melangkaui tugas Yang di-Pertuan Agong dan memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat.

RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata, Agong, atas arahan Majlis Raja-raja, menangguhkan persetujuan dan krisis Perlembagaan yang berlaku.

"Hampir sama dengan apa yang berlaku sekarang.

"Nampaknya institusi diraja yang paling berkesan dan di luar kawalan eksekutif," katanya mengulas kenyataan dikeluarkan Majlis Raja-raja semalam mengenai beberapa peruntukan dalam RUU MKN yang perlu diperhalusi.

Majlis Raja-raja berkata demikian selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi taklimat mengenai RUU itu pada mesyuarat di Istana Negara semalam.

Sultan Selangor yang mempengerusikan mesyuarat itu akan menulis surat kepada perdana menteri mengenai perkara itu, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan.

RUU itu yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember dan Dewan Negara pada 22 Disember, memberikan kuasa khas kepada pengarah operasi dan pasukan keselamatan untuk mengawal dan menyelaras operasi keselamatan negara.

Aziz berkata, beliau sudah meminta Dewan Negara supaya menangguhkan untuk meluluskan RUU itu tetapi seperti yang dijangka, mereka tidak berbuat demikian.

"Dan saya tidak fikir kita boleh meletakkan harapan ke atas badan kehakiman untuk mengisytiharkan rang undang-undang itu tidak berperlembagaan," katanya.

Aziz berkata, memandangkan Najib semakin ditekan, beliau merasakan adalah tidak selamat untuk mengabaikan pandangan Majlis Raja-raja, terutama selepas majlis itu juga mengeluarkan kenyataan keras terhadap 1MDB Oktober lalu.

"Pendek kata apa yang Majlis Raja-raja lakukan pada dasarnya bersifat politik tetapi ia meletakkan Najib di dalam suasana yang mendesak.

"Beliau kini secara efektifnya sudah 'tersekat' dan tidak mampu bergerak, undang-undang atau politik, boleh membawa padah kepada beliau," katanya.

Aziz berkata, Najib mencipta banyak musuh dan partinya, tidak seperti ketika bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berdepan dengan Majlis Raja-raja pada tahun 1983 dan 1993, tidak bersatu di belakangnya.

Beliau berkata, Najib boleh meneruskan hasrat meluluskan RUU tetapi apa akan terjadi jika Yang di-Pertuan Agong memilih untuk menolak perkenannya.

"Satu perkara lagi, peruntukan yang membolehkan undang-undang diluluskan tanpa perkenan Agong yang dimasukkan Dr Mahathir melalui pindaan pada tahun 1994 seolah-olah tidak sah kerana ia tidak dipersetujui Majlis Raja-raja," katanya.

Malah, beliau berkata Dr Mahathir melakukannya dengan membelakangkan Majlis Raja-raja.

"Dalam erti kata lain, meneruskan kelulusan RUU MKN boleh mencetuskan krisis Perlembagaan. Najib tidak boleh menambah musuh lain kerana lawannya sudah semakin ramai," katanya.

Aziz juga berkata, untuk menarik balik kelulusan RUU itu, biarpun ia mengikut peruntukan undang-undang, namun tindakan itu adalah salah.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pandangan-majlis-raja-raja-beri-implikasi-politik-kepada-najib-kata-pakar#sthash.Z4yFznos.dpuf