Sunday, February 21, 2016

PAS dakwa Putrajaya beku pekerja asing kerana pilihan raya Sarawak

Isu pengambilan pekerja asing sudah tentu akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Sarawak, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.Gambar fail AFP, 21 Februari, 2016.
PAS yakin tindakan “flip flop” Putrajaya dalam isu pengambilan pekerja asing, termasuk keputusan membekukan kemasukan mereka, merupakan tindakan sementara bertujuan mengelak ia dijadikan isu utama dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu tersebut sudah tentu akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sarawak.

Katanya, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan berada dalam keadaan tersepit sekiranya beliau menyokong pengambilan warga asing secara besar-besaran tanpa menyelesaikan masalah kerja dan kehidupan yang menyelubungi rakyat negeri itu.

"Warganegara yang tertindas di negeri sendiri, terutamanya Sarawak, sudah pasti akan terasa dengan polisi kerajaan membawa sebegitu banyak warga asing ke negara ini.

"Ini tatkala hidup mereka terus dihimpit dengan kesusahan kos hidup, mencari kerja dan suasana sosiopolitik yang kian berubah kerana pertambahan warga asing yang begitu mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Bayangkan perasaan warganegara sendiri apabila melihat warga asing mendapat kerja manakala mereka menganggur; warga asing berniaga merata manakala mereka terus hidup bergaji rendah.

"Malah ada yang tiba-tiba menjadi bumiputera kerana mengahwini orang Bumiputera tempatan dan mendapat hak yang sama, malah ada yang lebih baik daripada warganegara sendiri," katanya.

Pertengahan tahun lalu, kerajaan mengumumkan rancangan membawa masuk 1.5 juta tenaga kerja dari Bangladesh bagi memenuhi permintaan industri di negara ini.

Perkara itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja pihak industri.

Seperti pandangan beberapa pihak sebelum ini, PAS turut mendakwa, kerajaan tetap akan meneruskan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu tetapi selepas PRN Sarawak berakhir.

"Hari ini, kerajaan boleh menyalahkan kononnya majikan yang flip-flop dalam pengambilan warga asing," katanya merujuk alasan yang diberikan Timbalan Menteri dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Tetapi, betulkah begitu? Kerana, pelan perniagaan dan sumber manusia tidak akan secepat para menteri Barisan Nasional berubah keputusan.

"Rakyat tunggulah dan lihatlah apakah alasan kerajaan ketika itu pula untuk membolehkan pengambilan warga asing semula.

"Besar kemungkinan rakyat terpaksa tunggu sehingga PRN Sarawak selesai dahulu," kata Tuan Ibrahim.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-dakwa-putrajaya-beku-pekerja-asing-kerana-pilihan-raya-sarawak#sthash.aL3Kytjg.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-