Friday, February 26, 2016

Tun M punca Mukhriz tersingkir - Nazri

 Send by Email

Kuala Lumpur – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang menyebabkan anaknya digugurkan daripada jawatan menteri besar Kedah.

Katanya, kerana itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini dianggap sebagai satu “kegagalan politik”.

“Beliau digugurkan sebelum sempat selesaikan penggalnya.

“Orang biasanya meninggalkan jawatan mereka untuk kedudukan lebih tinggi, tapi dalam kesnya, beliau digugurkan, dan ini jelas memalukan keluarga Dr Mahathir,” kata Nazri kepada wartawan di Kuala Lumpur, hari ini.

Nazri berkata ia tentu lebih mengecewakan bekas perdana menteri itu kerana tiada sebarang akibat buruk yang timbul kesan daripada anaknya digugurkan.

“Tidak ada demonstrasi besar-besaran, jadi beliau kecewa.

“Sebab itu beliau gesa orang ramai berdemonstrasi kerana tidak ada sesiapa nampaknya kisah yang anaknya digugurkan.”

Beliau berkata, tidak ada menteri besar yang digugurkan tanpa alasan, dan Mukhriz terpaksa berundur kerana beliau gagal.

Ketika diminta menjelaskan sama ada beliau berkata Mukhriz digugurkan kerana tindakan bapanya atau gagal sebagai menteri besar, Nazri berkata selepas cubaan Dr Mahathir menolak Datuk Seri Najib Razak, ramai penyokong perdana menteri marah.

“Najib ada ramai penyokong dan mereka tidak gembira dengan Dr Mahathir.

“Tetapi jika Mukhriz merupakan pemimpin yang baik, sudah tentu sukar untuk menyingkirkan beliau.

“Tetapi kerana penyokong Najib di Kedah sudah marah dengan Dr Mahathir, kelemahan anaknya digunakan sebagai alasan menjatuhkannya sebagai tindakan balas dendam terhadap Dr Mahathir – itu pun satu faktor juga.”

Nazri berkata, apa yang berlaku kepada Dr Mahathir sekarang ialah satu karma, berikutan tindakan lampaunya terhadap perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman.

“Beliau menghasut orang Melayu membenci Tunku Abdul Rahman, katanya beliau suka Cina, padahal sebenarnya Tunku ialah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.

“Jadi saya rasa ini karma dia – semakin tua, semakin teruk beliau dihina,” kata Nazri. – The Malaysian Insider

Read more http://www.kualalumpurpost.net/tun-m-punca-mukhriz-tersingkir-nazri/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-