Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, February 29, 2016

Yayasan 1MDB taja 150 imam, penerusi JKKK naik haji

Bernama
Sebanyak 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak akan dipilih bagi menyertai Program Khas Haji Yayasan 1Malaysia Berhad (1MDB) tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengumumkan perkara itu semasa melawat Masjid Jamek Saratok hari ini, Perdana Menteri berkata mereka yang dipilih itu nanti terdiri daripada 75 imam dan 75 pengerusi JKKK.

"Kami serahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan siapa yang akan terpilih untuk menunaikan fardu haji di bawah program ini nanti," katanya.

Beliau berkata ini adalah sebagai menghargai jasa kepimpinan imam dan pengerusi JKKK di peringkat akar umbi.

Program khas untuk menunaikan rukum Islam kelima itu dimulakan Yayasan 1MDB pada 2011 dengan sebanyak 111 jemaah dari seluruh negara. Jumlah itu ditingkatkan kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).

Najib berkata jumlah yang dipilih bagi negeri Sarawak adalah besar dan beliau berharap mereka akan mendapat haji yang mabrur nanti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Saratok yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

-Bernama