Wednesday, February 17, 2016

Zahid nafi Umno mahu Dr Mahathir ditangkap

OLEH MUZLIZA MUSTAFA
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno tidak ada agenda untuk membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamad ditangkap.Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 16 Februari, 2016.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno tidak ada agenda untuk membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamad ditangkap kerana menulis blog dengan kata-kata yang keras terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Timbalan perdana menteri dan naib presiden Umno itu menjauhkan parti itu daripada dikaitkan dengan laporan polis yang dibuat baru-baru ini menganjurkan siasatan dibuka terhadap Dr Mahathir.

"Ia tidak ada kaitan dengan Umno. Sila dapatkan (komen dari) ketua polis negara," kata Zahid selepas merasmikan Forum Industri Produk Kosmetik dan Barangan Peribadi Halal di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata semalam beliau percaya Umno mengeluarkan amaran melalui ketua penerangannya yang baharu dengan mengatakan dia boleh ditangkap kerana mengkritik Najib dan Apandi.

Dalam blognya , bekas perdana menteri itu menulis, jelas yang Tan Sri Annuar Musa berkata kritikan berterusan itu satu usaha untuk membuatkan beliau ditangkap.

"Ketua penerangan baharu itu mencadangkan, saya lakukan ini kerana saya mahu ditangkap.

"Itu amaran yang jelas seperti keinginan untuk mereka menangkap saya," tulis Dr Mahathir dalam artikel bertajuk "Corruption in Malaysia".

Annuar pada 6 Februari lalu, sebagai tindak balas kepada salah satu posting blog bekas perdana menteri itu mendakwa, Dr Mahathir sengaja mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya untuk meraih simpati.

"Saya terkejut apabila membaca kenyataan Dr Mahathir di blognya yang sangat jelas mengandungi kata-kata menghasut.

"Saya benar-benar tidak tahu apakah niat beliau yang sebenar. Apakah ini strategi politiknya untuk meraih simpati?

“Boleh jadi juga Dr Mahathir berpendapat beliau kebal dari tindakan undang-undang menyebabkannya bertindak membelakangkan undang-undang dalam usahanya menjatuhkan Najib,” kata Annuar di laman Facebooknya.

Annuar juga memberi amaran pihak berkuasa masih perlu bertindak terhadap Dr Mahathir jika laporan polis dibuat terhadapnya.

Kegagalan untuk bertindak, katanya, akan membawa kepada pihak berkuasa dilihat sebagai pilih kasih.

Annuar dilaporkan berkata sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan asas undang-undang Malaysia akan tahu posting blog Dr Mahathir pada 3 Februari, bertajuk "AG to AG" bersifat menghasut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, polis sedang menyiasat Dr Mahathir mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah berhubung posting di blog beliau baru-baru ini melibatkan Apandi.

Beliau berkata laporan polis dibuat "satu atau 2 hari lalu" mengenai posting itu.

Sebelum ini, beliau berkata, polis akan memulakan siasatan hanya jika terdapat laporan yang dibuat mengenai perkara itu.

Dalam tulisan di blognya pada 5 Februari, Dr Mahathir menyerang Apandi berhubung keputusan beliau tidak mendakwa perdana menteri, mengatakan pendakwa utama negara itu tiada kredibiliti.

Beliau juga berkata Najib perlu meletak jawatan jika Malaysia mahu mendapatkan semula reputasinya. – 16 Februari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/zahid-nafi-umno-mahu-dr-mahathir-ditangkap#sthash.3r1NDQiK.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-