Sunday, March 20, 2016

AMANAH parti 'lidah bercabang' - PAS

Faiz Zainudin | March 20, 2016

Pemimpin AMANAH membuat pendirian berbeza mengenai pelaksanaan hudud apabila berhadapan pengundi Islam dan bukan Islam.

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) dilabel sebagai parti ‘lidah bercabang’ apabila tidak mempunyai pendirian tetap mengenai pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pemimpin AMANAH bermatian mahu melaksanakan hudud sebagai teras perjuangan apabila berhadapan dengan pengundi Islam.

“Pendirian mereka seumpama ‘lidah bercabang’. Di depan pengundi bukan Islam pula, mereka seperti DAP tidak akan laksanakan hukum hudud jika Pakatan Harapan menang,” katanya.

Katanya, pendirian AMANAH jelas berbeza dengan PAS yang mengamalkan perjuangan secara konsisten kepada semua pengundi baik Islam atau bukan Islam untuk tetap melaksanakan hudud melalui kaedah-kaedah yang sesuai.

Zuhdi berkata demikian kepada FMT bagi menjawab kenyataan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad yang menuduh PAS secara sengaja menekankan agenda pelaksanaan hudud untuk mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga gabungan pembangkang itu berpecah.

Dr Dzulkefly juga mendakwa golongan ulama PAS menggunakan isu hudud untuk menyingkirkan kumpulan profesional pada Muktamar yang lalu.

Zuhdi berkata, bukan PAS menjadi punca perpecahan PR tetapi DAP kerana gagal mendukung empat teras Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak ‘Buku Jingga’.

“Setelah empat teras itu disepakati, DAP merobek satu demi satu dukungan terhadap tonggak tersebut,” katanya.

Beliau juga mencabar Dr Dzulkefly supaya menjawab dua soalan berhubung pendirian parti itu mengenai hudud iaitu;

“Menjelaskan kepada pengundi-pengundi bukan Islam, adakah AMANAH tiada hasrat langsung untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia atau mereka ada hasrat tetapi disembunyikan kerana bimbang pengundi bukan Melayu lari?

“Saya mahu Dr Dzulkefly terangkan kepada pengundi Islam, adakah AMANAH bersetuju dengan pendirian DAP, sekiranya Pakatan Harapan menang, hukum hudud tidak akan sekali-kali dilaksanakan di Malaysia?,” soalnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-