Monday, March 14, 2016

'Gunung' Najib takkan rebah disalak Mahathir - Tajuddin

Faiz Zainudin

Tindakan Mahathir bersekongkol dengan pembangkang adalah sia-sia dan merugikan diri
KUALA LUMPUR: Sokongan UMNO susulan pemeteraian Deklarasi Rakyat memastikan ‘gunung’ seperti Datuk Seri Najib Razak tidak akan rebah disalak Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan tindakan bekas Presiden UMNO itu hanya menunjukkan bahawa beliau sanggup meninggalkan legasi dan wibawa selama ini semata-mata untuk menghalalkan niat menjatuhkan Najib.

“Dia fikir dia bersama pembangkang dapat tarik orang bersama dengan dia, tapi perkiraan dia salah,” ujar Tajuddin di ruang legar Parlimen hari ini, “mereka (pembangkang) tidak pun menolong dia, malah peroleh banyak benda daripada tindakan Tun Mahathir itu.”

“Dia boleh menyalak, tapi gunung itu akan kekal begitu sahaja kerana Datuk Seri Najib ibarat ‘batu’ yang kuat, dia mendapat sokongan 100 peratus daripada UMNO, ” tambah Tajuddin.

Tun Dr Mahathir telah mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor. Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR, menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Deklarasi itu turut ditandatangani bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Semalam Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa Dr Mahathir akhirnya telah diperkudakan oleh tokoh DAP, Lim Kit Siang untuk memecah-belahkan ahli-ahli UMNO.

Dalam perkembangan lain, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Kit Siang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Najib demi untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-