Saturday, March 26, 2016

Isu banglo Guan Eng timbulkan persepsi buruk, kata Duta Malaysia ke Indonesia

by NUR NISA SIDRAH ABDULLAH

JAKARTA: Siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa membeli banglo di bawah harga pasaran perlu disegerakan demi menjaga imej negeri itu sebagai destinasi pelaburan asing, kata Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Beliau berkata, isu itu boleh menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan ahli perniagaan di Indonesia yang banyak melabur di Pulau Pinang kerana ia seolah-olah menunjukkan berlaku perkara negatif dalam pemerintahan kerajaan negeri.

“Pulau Pinang mempunyai hubungan yang istimewa dengan Indonesia terutamanya dengan Medan dan disebabkan itu imej Ketua Menteri dan kerajaan negeri sangatlah penting bagi memastikan nama baik Pulau Pinang tidak terjejas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, siasatan menyeluruh termasuk oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu supaya isu itu tidak lagi menjadi perdebatan awam.

Pembelian banglo oleh Guan Eng dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.

Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Guan Eng dalam dalam kenyataannya berkata, pembelian banglo itu adalah atas persetujuan penjual-pembeli dan beliau bersedia untuk disiasat mengenainya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-