Thursday, March 10, 2016

Kenapa Ibrahim Ali tak mahu tandatangan Deklarasi Rakyat

Anne Muhammad
Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau tidak mahu menandatangani Deklarasi Rakyat kerana "namanya dan PERKASA tidak boleh dipisahkan".

Presiden PERKASA itu berkata, walaupun mereka yang menandatanganinya atas kapasiti individu "tapi maklumlah zaman internet, pihak-pihak akan membuat pentafsiran masing-masing".

"Itulah sebabnya mengapa saya tidak menandatangani deklarasi tersebut," kata Ibrahim.

Katanya, dasar PERKASA sebagai sebuah NGO, tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“NGO kita (PERKASA) bukan parti politik. (Namun) kita (semua pihak) tidak dapat terlepas dari membicarakan isu berkaitan agama, bangsa, negara.

"Semua ini adalah salah satu bahagian daripada politik, kita tak boleh jarakkan diri kita dengan isu berkaitan politik atau nama perjuangan alif ba ta," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Ibrahim menjelaskan demikian sebagai mengulas mengapa beliau tidak menandatangani deklarasi tersebut, walaupun hadir di majlis berkenaan,

Minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang telah menandatangani deklarasi yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka yang menandatanganinya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Mengulas lanjut katanya, sebelum ini apa yang diusulkan dalam Deklarasi Rakyat telah disuarakan oleh PERKASA.

Malah, katanya, isu mengenai beliau tidak menandatanganinya tidak seharusnya timbul.

“Isu ini sudah lama kita suarakan, apa yang Deklarasi Rakyat sebut tu, PERKASA sudah lama sebutkan dulu dan kita akan terus istiqamah untuk terus menyuarakannya,” katanya.

Ibrahim berkata beliau menghadiri majlis tersebut atas jemputan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak memasuki dewan berkenaan kerana sampai lambat ekoran kelewatan penerbangannya dari Kota Bharu.

“Saya hadir kerana jemputan Tun Mahathir, saya rapat dengan Tun Mahathir, banyak majlis PERKASA Tun Mahatir hadir.

"Bila dia (Dr Mahathir) jemput saya hadir dan saya beritahu saya tak dapat tandatangan kerana mahu jaga nama baik PERKASA supaya tidak ada salah faham," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-