Thursday, March 17, 2016

Majlis Peguam seperti pembangkang, kata Shafee

Zulaikha Zulkifli
Majlis Peguam kini dilihat seperti parti pembangkang apabila membuat semakan kehakiman terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kata peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurutnya, sebagai sebuah majlis peguam, pihak tersebut sepatutnya menjadi sebuah badan yang berkecuali.

"Majlis Peguam kini menjadi begitu politik (has become so political). Badan profesional undang-undang sepatutnya menjadi badan yang bebas.

"Lebih bebas badan itu lebih kuat. Majlis Peguam ini seperti pembangkang. Kita tidak kisah sama ada mereka menyokong kerajaan atau pembangkang (tetapi) mereka tidak boleh lakukan kedua-duanya. Non partisan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Majlis Peguam membuat semakan kehakiman terhadap Apandi ekoran peguam negara itu tidak membuat pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, Shafee juga berkata Majlis Peguam tidak mempunyai hak mencabar keputusan peguam negara berhubung penglibatan Najib dalam isu sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Tiada locus standi

Sambil memetik sistem perundangan Inggeris, Shafee berkata hanya mangsa (victim) yang mempunyai hak untuk mendapatkan semakan kehakiman.

"Majlis Peguam bukan mangsa (victim), mereka mungkin tidak mempunyai locus standi, mereka boleh dianggap sebagai penyibuk kerana tidak mempunyai locus standi," katanya lagi.

Malah, beliau juga meragui permohonan Majlis Peguam untuk memohon semakan itu akan berjaya kerana badan tersebut tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung kes itu.

"Jika mereka tidak mempunyai fakta yang penuh, bagaimana mereka mahu meyakinkan mahkamah bahawa untuk menyemak semula keputusan peguam negara. Mereka (Majlis Peguam) tak boleh, ia mustahil," katanya lagi.

Selasa lalu, Majlis Peguam memfailkan permohonan semakan kehakimanterhadap keputusan Apandi untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib.

Tindakan Azalina tepat

Dalam permohonan itu Majlis Peguam memohon perintah Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Apandi pada 26 Januari lalu 'membersihkan' Najib dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan mereka.

Badan peguam itu juga mahu mahkamah menghalang peguam negara daripada membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain membenarkan peguamcara negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama ada mendakwa Najib atau tidak.

Ekoran itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman mengeluarkan kenyataan bahawa soalan berhubung 'derma politik' itu tidak boleh dibangkitkan di parlimen kerana subjudis berikutan semakan kehakiman oleh Majlis Peguam tersebut.

Mengulas perkara berkenaan, Shafee berkata tindakan Azalina itu tepat.

"(Tindakan) Azalina itu betul. Anda tidak boleh berhujah di sini (Parlimen) kerana ia subjudis," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-