Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, March 3, 2016

Muhyiddin takut, kata PAS Johor

Langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal dalam Umno menunjukkan timbalan presiden Umno yang digantung tugas itu takut, kata PAS Johor.

“Jika Muhyiddin mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka beliau mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

“Dengan hanya berjuang dalam Umno untuk membuat perubahan maka ia menunjukkan beliau takut dan tidak yakin,” kata Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Muhyiddin dalam sidang media pertama selepas digantung tugas sebagai pemimpin nombor dua Umno hari ini berkata beliau akan terus kekal dalam parti itu.

Berikrar tidak akan berdiam diri, Muhyddin berkata masalah negara berpunca daripada Najib, bukan Umno.
Muhyiddin digantung tugas selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Jumaat lepas selepas perbezaan pandangan dan pendirian berpanjangan, terutamanya dalam isu syarikat sarat hutang 1MDB.

Dalam kenyataan hari ini, Mahfodz berkata pengumuman Muhyiddin hari ini sudah dijangkakan.

Mahfodz berkata Muhuiddin tidak berani melakukan perubahan walaupun telah merasai sendiri “kezaliman dan ketidakadilan” terhadap beliau.

Mahfodz juga berkata Umno telah hilang integriti dan maruah sebagai parti yang mampu membela nasib dan masa hadapan rakyat Malaysia.

“Seperti mana yang disebut oleh presiden PAS, iaitu PAS tidak anti kepada ahli Umno, maka PAS Johor bersedia untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan perkara- perkara yang berkaitan dengan masa hadapan politik negara dengan syarat untuk menjatuhkan Umno dalam pilihan raya umum yang akan datang jika beliau benar-benar ingin membuat perubahan dan menyelamatkan Malaysia,” katanya.