Tuesday, March 1, 2016

Pecat, keluar parti tidak selesai masalah UMNO - Rafidah Aziz

Khairil Ashraf | March 1, 2016

Apa yang berlaku dalam UMNO telah memberikan imej yang buruk dan parti itu juga telah menyimpang jauh dari cogankata perjuangan asal.
PETALING JAYA : Masalah yang berlaku dalam UMNO telah memberikan imej yang buruk kepada cara parti mentadbir kerajaan yang menyimpang jauh dari cogankata perjuangan asalnya iaitu “Bersatu..Bersetia..Berkhidmat”

“Dimanakah letaknya usaha untuk bersatu, apa yang terjadi pada setia kepada UMNO dan apakah yang dilakukan dalam konteks berkhidmat?,” soalnya bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menerusi akaun Facebooknya, bekas menteri kabinet berkata, tidak pernah ahli-ahli UMNO disuruh bersatu untuk menentang sesama sendiri, kecuali bersatu untuk memperkukuhkan parti.

“Tidak pernah juga, ahli-ahli UMNO diminta setia kepada individu dalam parti, melainkan kepada UMNO.

“Begitu juga sama sekali tidak pernah UMNO tidak pernah meminta ahli-ahli berkhidmat untuk kepentingan sesiapa, kecuali hanya untuk parti.

“Supaya parti terus mampu menerajui kerajaan untuk bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Barisan Nasional..membangunkan negara dan mentadbir untuk kepentingan rakyat,” katanya

Rafidah berkata, masalah-masalah yang dihadapi UMNO kini tidak mungkin selesai hanya melalui pemecatan, keluar parti, mencela antara satu sama lain dan menunjukkan sifat yang tidak mencerminkan budaya parti itu.

“Mengapa kita biarkan UMNO dikeji oleh sebab karenah individu-individu? Mengapa parti yang telah sekian lama menaungi bangsa dan rakyat dijadikan mangsa kepada kegagalan individu-individu?,” soalnya.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO perlu mencari jalan pendamaian, penyatuan dan perbincangan dengan fikiran terbuka.

Tegasnya, setiap kesilapan boleh dibaiki dan diperbetulkan jika mahu mengembalikan keyakinan bangsa dan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-