Wednesday, March 9, 2016

Penganjuran himpunan hanya bantu DAP dan PKR

ASYRAF MUHAMMAD
9 MAC 2016
SHAH ALAM - Tindakan Pakatan Harapan yang bercadang untuk menganjurkan perhimpunan ‘Muafakat Selamatkan Malaysia’ di setiap negeri bermula bulan ini tidak akan membawa sebarang kebaikan pada negara namun hanya membantu DAP dan PKR mempercepatkan jalan mereka untuk ke Putrajaya.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, penganjuran himpunan itu kelihatan sama seperti perhimpunan lain yang dianjurkan oleh pembangkang sebelum ini malah ia juga turut mengingatkan kembali peristiwa demonstrasi reformasi yang diusahakan oleh kumpulan pro bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Namun apa yang berbeza kali ini hanyalah watak tokoh dan jalan ceritanya sahaja.

"‎Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia ini akan menjadikan agenda DAP untuk ke hadapan dan juga menunjukkan beberapa kesilapan besar masa lalu termasuk pemecatan dan perbicaraan Anwar seolah-olah satu permainan politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Menurut Md Shukri, usaha bagi menyelamatkan Malaysia tidak boleh dilakukan secara jalanan memandangkan ia akan memberikan kesan kepada rakyat pada masa hadapan.

Katanya, idea bagi melaksanakan himpunan jalanan ini dipercayai tercetus berikutan daripada ada di antara tokoh yang terikut-ikut dengan agenda Arab Springs dan mahukan ia turut direalisasikan di negara ini.

“Secara teknikalnya, himpunan jalanan yang diadakan ini tidak menjejaskan mandat yang diperoleh BN serta status Najib sebagai perdana menteri juga tidak terjejas selagi mana anggota majoriti lebih dari 111 ahli Dewan Rakyat menyokong beliau.

“Ia merupakan mandat malah melalui Parlimen juga ia boleh dirombak dan bukannya melalui jalanan,” katanya.

Dalam pada itu, Md Shukri turut memaklumkan bahawa penganjuran himpunan tersebut juga dilihat tidak akan mempercepatkan proses PRU selepas ini memandangkan hak untuk membubarkan parlimen merupakan hak khusus Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, Md Shukri turut meyakini perjalanan Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak akan berlangsung lancar dan memihak kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memandangkan suasana politik di negeri itu tidak sama dengan semenanjung.

“Di negara ini, kuasa Parlimen adalah kuasa unggul dalam pemerintahan dan bukannya seperti yang berlaku di Indonesia, Thailand serta negara-negara lain.

“Jalanan bukan institusi yang boleh menentukan siapa peneraju kerajaan dan negara. Saya jangkakan bahawa demonstrasi seperti ini juga bakal menjadi pentas bagi menaikkan nama Anwar dan menuntut pembebasannya,” katanya.

‎Sebelum ini, Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan bahawa pihaknya akan menganjurkan perhimpunan ‘Muafakat Selamat Malaysia’ di setiap negeri bermula bulan ini bagi menggembleng sokongan umum bagi menuntut peletakan jawatan perdana menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-