Tuesday, March 29, 2016

Perjuangan Tun M bukan lagi untuk Melayu - Rais

March 29, 2016

Tun Mahathir menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan ia berkaitan peristiwa penyingkiran Muhkriz sebagai Menteri Besar Kedah.
JELEBU: Veteran UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini bukan lagi perjuangan untuk orang Melayu, sebaliknya lebih bersifat peribadi.

Beliau berkata, sebagai pemimpin yang lama dikenalinya, beliau berasa sedih dengan tindakan diambil Dr Mahathir yang jelas bercanggah dengan perjuangannya sebelum ini.

“Saya tak nampak ia (Kongres Rakyat) berjaya sebab amat jelas bahawa Tun mengadakan program-program ini sekali gus menidakkan apa yang dia buat dahulu.

Dahulu beliau mempunyai keyakinan dan kesabaran untuk menaikkan UMNO semula dan orang Melayu, sekarang politik beliau bukan untuk orang Melayu lagi, bukan untuk semerbak perjuangan dalam BN (Barisan Nasional) lagi.

“Beliau menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan apa sebab, tentulah ada kaitan dengan rentetan peristiwa yang membawa kepada (pemecatan) Datuk Seri Muhkriz di Kedah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam selepas majlis Santapan Minda anjuran Yayasan Budi dan Biro Penerangan BN Parlimen Jelebu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Kongres Rakyat, Ahad lalu di Shah Alam, Selangor yang turut disertai Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata, beliau tidak tertarik untuk menyertai atau memberi sokongan kepada hujah yang disambut baik oleh pembangkang dan pihak yang mahu menurunkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

“Perlu ditegaskan dalam sistem demokrasi dan perundangan negara bahawa memang boleh seseorang itu seperti Tun Mahathir seru agar Perdana Menteri meletak jawatan. Namun, kesemua ini perlu diasaskan kepada undang-undang negara (yang mana) ada dua perkara yang seharusnya difikirkan.

“Ia ialah apabila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan tidak percaya kepada beliau (Najib) atau apabila anggota Parlimen di Dewan Rakyat meluluskan undi tidak percaya terhadap beliau. Jika sebarang langkah ini tidak dapat dilaksanakan, maka Najib tidak boleh diseru untuk letak jawatan waima dengan
sejuta tandatangan diperoleh oleh Tun Mahathir dan sekutunya,” katanya.

Oleh demikian katanya, sekiranya perasaan tidak puas hati itu hendak diterjemahkan oleh mana-mana pihak, ia boleh dilakukan menerusi pilihan raya.

“Sementara itu, benarkan Perdana Menteri dan (jemaah) Kabinetnya menjalankan tugas negara,” katanya.

-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-