Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, March 24, 2016

PERKASA cabar Lim bukti 'kejantanan', undur sementara

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata Lim Guan Eng perlu membuktikan “kejantanannya” dengan meletak jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Kata Ibrahim, sekiranya siasatan yang dilakukan mendapati Lim bersih dari sebarang salah laku rasuah, beliau boleh mendapatkan jawatannya semula sebagai seorang hero.

“Wahai Lim Guan Eng, buktikanlah kejantananmu dengan mengambil langkah undur diri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang (dan) biar SPRM menyiasat ke akar umbi.

“Dan apabila selesai penyiasatan, jika didapati bersih dan tiada unsur rasuah atau apa-apa sahaja yang boleh dikaitkan sebagai perbuatan salah, Lim Guan Eng akan kembali sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan seorang hero,” kata Ibrahim.

Sebelum ini anggota parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan pembelian rumah Lim yang RM2.8 juta bawah harga pasaran.

Shabudin juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.

Kes itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Ibrahim berkata sekiranya Lim mengambil langkah melepaskan jawatannya ia akan menunjukkan setiausaha agung DAP seorang yang konsisten dalam memerangi isu rasuah.

“Lim Guan Eng mesti tunjuk sikap konsistennya dalam memerangi rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Keengganannya untuk bercuti atau undur diri hanya meletakkan diri nya sebagai cakap tak serupa bikin atau bersifat hipokrit.

“Apakah Lim Guan Eng ini ibarat kata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih sebelum ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Lim hari ini enggan melayan desakan supaya beliau mengambil cuti sementara menunggu siasatan SPRM.

Menurutnya, desakan sama kepada Datuk Seri Najib Razak tidak dibuat dalam isu kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.