Tuesday, March 1, 2016

Perlis larang jual produk atas nama agama

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan larangan penggunaan ruqyah pada sesuatu produk untuk tujuan komersil sama ada untuk tujuan pelabelan, pengiklanan atau promosi.

Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat ke-20 dan 21/2016 jawatankuasa tersebut pada 18 dan 19 Februari lepas.

"Menjual bahan-bahan jampian tidak diamalkan oleh Salaf al-Soleh kerana boleh menimbulkan kekeliruan penyalahgunaan kalimah Allah untuk keuntungan duniawi," katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau turut menyarankan produk yang dipromosikan atas nama agama juga harus ditegah untuk mencegah penyelewengan selain tiada jaminan keberkesanan produk terbabit.

"Penjualan susu, kismis pintar dan minuman yang dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran yang didakwa boleh menjadikan seseorang itu pintar atau baik akhlak menjadi trend perniagaan selain mengeksploitasi agama.

"Islam menyeru umatnya menuntut ilmu, berusaha dan beramal soleh untuk memperolehi kejayaan, bukan dengan minum susu kita boleh jadi cerdik dan pandai tanpa perlu belajar dan usaha," katanya dalam sidang media khas di Jabatan Mufti Negeri di Kangar, hari ini.

Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis turut memutuskan bahawa perbuatan mencemarkan alam sekitar dan memberi kesan kemudaratan fizikal secara langsung kepada manusia, haiwan dan tumbuhan adalah haram.

"Perbuatan mencemarkan alam sekitar yang mengganggu ekosistem alam secara langsung sehingga merosakkan kehidupan alam semesta adalah bercanggah dengan tuntutan agama Islam.

"Islam adalah agama yang menyeru umatnya agar memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dan alam semesta serta tidak melakukan perkara-perkara yang memudaratkan," katanya.

Selain itu, Mohd Asri menggesa umat Islam agar tidak terikat dengan fahaman yang mementingkan perbuatan soleh dalam mengamalkan ajaran Islam tetapi melihatnya dalam konteks yang lebih luas.

"Ramai faham dan sedar tidak solat, puasa atau menutup aurat adalah berdosa, tetapi masih memandang ringan tentang penjagaan dan pemeliharaan perkara lain seperti menjaga alam sekitar yang diseru oleh Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-