Monday, March 21, 2016

Raja bomoh pecahkan tembikai untuk pulih cuaca panas

Individu yang pernah menggelarkan dirinya sebagai 'Raja Bomoh Malaysia', Datuk Ibrahim Mat Zin sekali lagi mencuri perhatian apabila melakukan upacara pelik.

Kali ini beliau mengadakan ritual bagi 'memulihkan' cuaca panas yang sedang melanda negara dengan menggunakan buah tembikai.

Dalam satu rakaman video, Ibrahim bersama empat pengikutnya dilihat membaca surah Yassin dan berdoa sebelum memecahkan lima biji buah tembikai.

Beliau kemudian mendakwa upacara itu sebagai simbolik menyejukkan badan dan udara.

“Ayat Yassin dan ayat Nabi Yunus yang dibaca (tadi) adalah merupakan petua orang zaman dahulu (dan) buah tembikai (sebagai simbolik) untuk menyejukkan badan, bumi dan udara supaya (fenomena) panas yang berlaku dapat dipulihkan, semoga (dengan) petua ini dapat menyejukkan udara supaya rakyat berbilang kaum dan bangsa di Malaysia.

“Kami kumpulan Datuk Ibrahim Raja Bomoh Sedunia berdoa dengan anak muridnya untuk menyelamatkan (masyarakat) berbilang kaum dan bangsa agar cuaca panas dapat dikurangkan dengan izin Allah” ujarnya dalam satu video yang dipaparkan portal Suara.tv.

Ibrahim mula menjadi popular selepas melakukan upacara di KLIA bagi 'membantu' mencari pesawat MH370 yang hilang dua tahun lalu.

Dengan memakai sut lengkap bertali leher dan bersongkok, beliau melakukan ritual dengan menggunakan bubu, kelapa, batang buluh dan beberapa peralatan lain bagi mencari pesawat berkenaan.

Selain itu antara ritual pelik yang pernah dilakukan adalah ketika mengadakan upacara di luar Penjara Sungai Buloh selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Beliau juga pernah mengadakan upacara di kawasan kemalangan mendiang Karpal Singh dan muncul di majlis pengumuman calon BN pada pilihan raya kecil Teluk Intan bagi 'merestui' calon BN yang bertanding ketika itu.

April lalu, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dalam satu kenyataan mahu mengambil tindakan terhadap Ibrahim setelah mewartakan amalannya sebagai sesat dan haram.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-