Friday, March 25, 2016

Saman Najib: Tun M mahu isu 1MDB dibahas

ASYRAF MUHAMMAD
25 MAC 2016
Dari kiri: Marthada, Shamrahayu.
SHAH ALAM - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memastikan isu tersebut terus dibahaskan.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed.berkata, langkah berkenaan merupakan usaha berterusan yang dilakukan Mahathir memandangkan beliau masih tidak berpuas hati dengan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sebelum ini Mohamed Apandi mengumumkan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah dan berpuas hati terhadap siasatan serta saksi yang dikemukakan.‎

“Saya lihat apa yang Mahathir buat ini adalah untuk pastikan masyarakat masih bercakap mengenai isu ini dan tindakan untuk memfailkan saman tersebut adalah bagi memastikan isu ini terus dibahaskan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Ketika ditanya adakah usaha Mahathir tersebut akan berhasil, Marthada menambah, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri tidak akan terjejas memandangkan kes tersebut telah ditutup selepas Mohamed Apandi membuat pengumuman mengenai isu tersebut (1MDB).

Marthada berkata, apa yang dijelaskan oleh peguam negara sebelum ini adalah berdasarkan sistem perlembagaan dan undang-undang di negara ini.

“Apa yang dibangkitkan Mahathir ini adalah lebih kepada cetusan ketidakpuasan hatinya selama ini dan saya rasa usahanya tidak akan berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, sesiapa sahaja rakyat di negara ini boleh mengambil tindakan untuk memfailkan saman memandangkan ia merupakan hak individu.

Namun begitu, Shamrahayu memaklumkan bahawa segala keputusan yang dibuat merupakan hak mahkamah melalui penelitian terperinci terhadap permohonan tersebut.

“Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem kehakiman dan dari segi akademik, undang-undang tak halang mana-mana pihak untuk buat tindakan mahkamah.

“Mahkamah ada hak untuk meneliti segala permohonan itu dan menentukan sama ada individu terbabit mempunyai locus standi (hak pendakwaan) atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata Mahathir tidak memiliki locus standi atau hak perundangan untuk memfailkan saman terhadap Najib berikutan kes itu tidak mempunyai kaitan secara langsung kepadanya, sama ada sebagai bekas Perdana Menteri atau rakyat biasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-