Sunday, March 20, 2016

Serpihan dipercayai dari MH370 tiba di Australia

Bernama
Dua serpihan ditemukan di Mozambique tiba di Australia pagi Ahad untuk pemeriksaan dan pengesahan sama ada ia milik pesawat MH370 yang hilang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Proses pemeriksaan itu dijadual bermula esok (21 Mac), katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 akan membantu dalam pemeriksaan dan analisis serpihan itu oleh pakar-pakar daripada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Malaysia Airlines dan Boeing untuk mengesahkan asal usulnya.

Liow berkata: "Kedua-dua serpihan itu akan hanya diperiksa di Canberra dengan kehadiran pakar-pakar berkenaan.

"Proses pemeriksaan akan bermula pada 21 Mac, dengan bantuan pasukan pakar, kami berharap untuk mendapat hasil keputusan pemeriksaan serpihan itu dengan secepat mungkin".

Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Usaha mencari pesawat itu sedang dilakukan di selatan Lautan Hindi.

Serpihan pertama ditemukan di Mozambique manakala serpihan kedua juga ditemukan di negara itu, telah dibawa ke Afrika Selatan oleh keluarga yang menemukan kedua-dua serpihan itu.

Pasukan Malaysia dianggotai DCA, Malaysia Airlines dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 mendapatkan serpihan itu daripada pihak berkuasa Afrika Selatan.

"Dengan mengambil kira kesedihan dialami keluarga penumpang dan anak kapal MH370, saya sekali lagi menggesa orang ramai dan pihak berkepentingan untuk mengelak membuat spekulasi dan komen tidak berasas sehingga asal usul kedua-dua keping serpihan itu disahkan oleh kapal," kata Liow.

Satu-satunya serpihan milik MH370 yang ditemukan setakat ini adalah sekeping flaperon yang ditemukan terdampar di pantai Pulau Reunion, Perancis pada Julai tahun lepas.

Liow berkata Malaysia komited sepenuhnya dalam meneruskan usaha mencari MH370 dan akan memaklumkan sebarang perkembangannya dari semasa ke semasa kepada keluarga penumpang dan anak kapal.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-