Saturday, March 12, 2016

Tutup, tiada lagi 1.5 juta pekerja Bangladesh!

MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
12 MAC 2016

Zahid Hamidi. - Foto Bernama
HUTAN MELINTANG – “Tidak! Tutup! Habis! Tiada lagi 1.5 juta pekerja Bangladesh akan masuk ke negara ini."

Itu jawapan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya pemberita dalam sidang media di Wisma Umno Bagan Datoh, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengumumkan tiada lagi sebarang pengambilan pekerja asing baharu di negara ini berkuat kuasa serta merta selepas diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat kabinet kelmarin, di Putrajaya.

“Mesyuarat berkenaan turut memutuskan mana-mana majikan dan ejen yang membawa masuk pekerja tanpa izin ke negara ini akan berhadapan dengan hukuman sebat bukan lagi denda.

“Ini selari dengan tindakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain yang akan memperkuatkan penguatkuasaan mereka kepada majikan dan ejen yang melakukan kesalahan.

Tambahnya, kesalahan berkenaan termasuklah menggaji pekerja asing yang tidak berdokumen atau telah tamat tempoh serta melakukan kesalahan dari segi perundangan imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atip-Som).

Menurut Ahmad Zahid, hukuman sebat dilihat sebagai cara paling berkesan dalam memberi amaran keras kepada majikan dan ejen yang membawa masuk pekerja asing tanpa izin berbanding denda.

“Pihak kerajaan dituduh kononnya membawa masuk pekerja asing tanpa izin ini sedangkan ia dilakukan oleh pihak majikan dan ejen-ejen yang mengaut begitu banyak keuntungan.

“Ini merupakan amaran terakhir dan jangan menuduh kerajaan kononnya membawa lebih dua juta pekerja asing tanpa izin di negara ini sedangkan kita telah membuka ruang secukupnya untuk program penggajian semula,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pihak kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negara (KDN), Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain kementerian tidak akan meluluskan mana-mana permohonan majikan untuk membawa pekerja asing dari luar kecuali sektor pembantu rumah.

“Mana-mana majikan yang mahu pekerja baharu atau tidak cukup pekerja boleh terus berhubung dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

“Boleh terus berhubung dengan mereka supaya mudah-mudahan mereka dapat menguruskan pekerja tempatan bagi syarikat berkenaan tanpa mengambil pekerja asing yang ada dalam negara atau yang baru dibawa masuk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-