Monday, April 4, 2016

Adakah ABC diterima sebagai sumber yang boleh dipercayai

Utama & SensasiApr 3, 2016
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mempersoalkan sama ada Australian Broadcasting Corporation (ABC) kini diterima sebagai sumber yang boleh dipercayai hinggakan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu laporan khas oleh stesen TV Australia itu disiarkan melalui TV Malaysia.

Salleh berkata bekas perdana menteri itu mahu laporan khas ABC mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak “Four Corners” disiarkan di Malaysia supaya rakyat Malaysia “mengetahui kebenaran”.

“Apabila ABC melaporkan mengenai Najib mereka menceritakan tentang kebenaran. Adakah ini yang Mahathir cuba katakan,” kata beliau menerusi blognya hari ini.

Awal minggu ini, jurucakap kerajaan Malaysia berkata dalam satu kenyataan bahawa laporan “Four Corners” ABC mengesahkan bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun perdana menteri adalah derma daripada keluarga diraja Saudi.

Jurucakap itu juga berkata sepucuk surat yang bocor daripada Arab Saudi menyatakan bahawa derma itu ialah hadiah kepada Najib kerana memperjuangkan Islam sederhana serta memerangi keganasan dan ekstremisme termasuk melancarkan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Jurucakap itu juga berkata surat itu menyatakan dengan jelas bahawa pemberian tersebut yang untuk digunakan oleh Perdana Menteri dengan cara yang difikirkan wajar, akan dipindahkan secara terus atau melalui syarikat penderma, dan tiada sebarang manfaat diharapkan sebagai balasan.

Salleh berkata, “Dan kebenaran apakah yang Mahathir mahu rakyat Malaysia tahu – bahawa Najib tidak mencuri apa-apa wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dalam bank bukannya dari 1MDB?

“Mahathir kini menganggap ABC sebagai sumber yang boleh dipercayai dan mahu laporan khas stesen TV Australia itu menjadi asas tentang bagaimana Najib harus dinilai.

“Pendek kata, Mahathir mahu Najib dibicarakan melalui media dan disabitkan di mahkamah pendapat umum,” kata beliau. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-