Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, April 25, 2016

Dua UMNO cawangan di Machang tolak Najib

FMT Reporters

Mereka juga menolak keputusan parti menangguhkan Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan tahun ini.
PETALING JAYA: Dua UMNO cawangan – Lepan Simpol dan Banggol Judah dalam Bahagian Machang, Kelantan, dilaporkan sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti.

Usul menolak Najib itu diterima tanpa bahas oleh kira-kira 70 ahli yang hadir pada mesyuarat bersama, dua cawangan tersebut pada Sabtu lalu.

Ketua Cawangan Lepan Simpol, Datuk Sazmi Miah berkata, usul tersebut mengambil kira kepentingan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang apabila rata-rata rakyat di peringkat akar umbi menolak kepimpinan Najib.

Katanya, sekali pun keputusan tersebut menongkah arus dan dilihat bertentangan namun itu adalah suara ahli di cawangan tersebut.

“Usul ini diterima dengan hati yang terbuka dan tidak dibahaskan kerana kita mahu memperkasakan parti dengan mengambil kira suara ahli-ahli di peringkat akar umbi.

“Usul ini dibuat oleh anak-anak muda dan inilah suara mereka. Kenapa kita mesti bantah? Mesyuarat cawangan adalah platform yang tepat untuk menyuarakan suara hati dan pendapat mereka. Tidak perlu bercakap di kedai kopi atau cakap belakang sebaliknya nyatakan secara jelas dan terang mengikut saluran yang betul,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sazmi yang juga bekas Ahli Parlimen Machang berkata, pelbagai isu yang membelenggu Presiden parti boleh menjejaskan parti pada PRU akan datang dan Najib perlu berundur sebelum ia berlaku.

Katanya, dalam masa yang sama, kedua-dua cawangan itu juga sepakat menolak penangguhan Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan tahun ini ditangguhkan pada 2018, sebagai persediaan menghadapi PRU14.