Saturday, April 2, 2016

Himpunan mansuh GST tiada matlamat

OLEH MANZAIDI MOHD AMIN
Sebahagian peserta Perhimpunan Anti GST berarak dari pusat membeli-belah Sogo menghala ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 2 Mac 2016.

Himpunan bantah GST dan anti-Najib di Dataran Merdeka hari ini lebih kepada memutar kaset lama.

Ini kerana kebanyakan ucapan pemimpin yang terlibat dalam perhimpunan itu tidak menyatakan dengan jelas motif, tujuan dan matlamat himpunan.

Peserta yang hadir pula kebanyakannya muka sama dengan perhimpunan sebelum ini, melainkan bertukar baju sahaja.

MalaysiaGazette yang berada sepanjang perhimpunan itu sejak jam 12 tengah hari hingga 5 petang menerima banyak rungutan dari peserta.

Ada antaranya memberitahu, kehadiran mereka ke perhimpunan itu dipaksa oleh kepimpinan parti peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan.

Kebanyakan yang hadir pula adalah ahli serta penyokong Parti Amanah Negara (PAN) dan segelintir dari rakannya iaitu PKR serta DAP.

Pas langsung tidak menunjukkan muka, menjadikan lagi perhimpunan itu gagal sepenuhnya.

Laungan 'Mansuh GST', 'Undur Najib Undur' dan 'Undur Rosmah Undur' juga tidak bersahut oleh peserta.

Suasana muram disebabkan cuaca panas yang mencecah 37 darjah Selsius menghambarkan perhimpunan anjuran PAN dan PKR itu.

Dalam ucapan pemimpin pembangkang yang mengambil bahagian seperti Presiden PAN, Mohamad Sabu; timbalannya, Salahudin Ayob dan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad lebih kepada memberitahu kesan pelaksanaan cukai itu kepada rakyat.

Keadaan agak gamat sedikit dengan kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada akhir perhimpunan itu.

Beliau yang sampai bersama bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mahathir mengambil masa kira-kira 10 minit berucap dengan intipatinya juga mengulangi perkara yang sama iaitu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Beliau juga mendakwa kekuatan Najib terletak pada sokongan pemimpin UMNO yang 'makan dedak'. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-