Monday, April 11, 2016

Isu Zakir : Pendirian BN, Pakatan Harapan bercelaru

Parti-parti komponen dalam BN dan Pakatan Harapan nampaknya saling bercelaru dalam pendirian berhubung isu pendakwah Islam, Dr. Zakir Naik.

Di kalangan kelompok BN, ketika Presiden MIC, Dr. S Subramaniam memuji tindakan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan arahan pembatalan forum Zakir, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun pula mahu pembatalan itu ditarik semula.

"Bagi pihak rakyat Malaysia yang membantah kehadiran Dr. Zakir dan program-program beliau, saya ingin berterima kasih kepada KPN kerana mendengar rintihan rakyat yang prihatin dan menghalang kemasukannya.

"Agenda mereka yang seumpama Zakir terlalu asing bagi kita dan seharusnya dibiarkan terasing kepada agenda Malaysia," kata Subramaniam dalam kenyataan media.

Walau bagaimanapun, Khairul mempersoalkan keputusan polis itu yang terkesan dengan prinsip kebebasan beragama.

Kata beliau, pihak polis tidak seharusnya memilih jalan mudah, namun mempertahankan keselamatan dan memastikan keamanan awam.

"Pemuda Umno menggesa rakyat Malaysia agar matang dan tidak terpengaruh dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melampau yang begitu takut dan membenci keterlaluan sehingga rakyat tidak dapat menilai kebaikan dalam sesuatu perkara," tambahnya.

Pemimpin Pemuda Umno tidak menyatakan bantahan dari MIC dalam kenyataan medianya itu.

Dalam pada itu, merentasi sempadan politik kepartian, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy pada mulanya menggelarkan pendakwah Muslim tersebut sebagai syaitan atau "satan" dalam akaun Facebooknya namun bertindak memadamkan perkataan itu tidak lama selepas berbuat demikian.

Pemimpin DAP itu mendakwa Zakir mahu menyebarkan kebencian terhadap rakyat bukan Islam di negara ini.

"Beliau adalah pendakwah Islam yang tidak memiliki apa-apa tetapi cuba membenci dan menghina bukan Islam.

"Beliau telah diharamkan di Kanada dan United Kingdom (UK) kerana menyampaikan syarahan kebencian. Ada sesetengah orang Islam di India juga menyifatkan Zakir sebagai penipu, separa benar dan penyebar kebencian," jelasnya lagi.

Sementara itu, rakan seangkatan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) pula menyatakan kekecewaan berhubung langkah membatalkan syarahan Zakir.

Ketua sayap pemudanya, Sany Hamzan menyifatkan Zakir sebagai "intelektual dalaman" dan mengecam tindakan polis membatalkan wacana intelektual tersebut.

PAS dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) juga melahirkan kekecewaan atas tindakan membatalkan forum berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-