Tuesday, April 19, 2016

Ketepi saman Anina, peguam UMNO dakwa mahkamah buat keputusan betul

by ANA GHOIB 2016-04-19

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul apabila mengetepikan saman Ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin berhubung pemecatannya daripada parti itu.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, adalah jelas dari segi undang-undang bahawa keputusan yang dibuat sesebuah parti politik adalah muktamad, konklusif dan tidak boleh dicabar, disemak semula atau dirayu di mana-mana mahkamah.

“Kami menghujahkan bahawa keputusan dibuat hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dan adalah jelas bahawa relif yang dimohon Anina itu adalah berkaitan surat yang menjadi persoalan (surat pemecatan), Perkara 20.7 Perlembagaan parti itu dan pemberhentiannya sebagai anggota Umno, jelas terletak di bawah bidang kuasa Umno sendiri,” katanya.

Mohd Hafarizam berhujah pada rayuan Anina terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak samannya terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

Mohd Hafarizam, yang mewakili dua responden itu berkata, Umno adalah parti politik yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966 di mana semua perkara berkaitan pemecatan sebagai anggota Umno terletak di bawah bidang kuasa parti itu.

“Perlembagaan itu sendiri merupakan sebahagian daripada kontrak antara Anina dan Umno sebagai parti politik dan kedua-duanya terikat oleh terma Perlembagaan itu,” katanya.

Menurutnya sekiranya Anina ingin mencabar keputusan pemecatannya, beliau boleh merujuk perkara itu kepada Majlis Tertinggi Umno mengikut Perkara 20.11 perlembagaan parti.

Bagaimanapun, katanya, Anina tidak menggunakan semua peraturan Umno bagi menyelesaikan perkara berkaitan haknya sebagai anggota parti itu sebelum memfailkan saman.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Anina, dalam hujahnya berkata Mahkamah Tinggi menolak saman kliennya semata-mata berdasarkan Seksyen 18C tanpa memberi Anina peluang untuk mencabar pemecatannya daripada Umno mengkiut Perkara 20.7 Perlembagaan Umno.

Beliau berkata Perkara 20.7 belum terpakai lagi kerana ia menyentuh tentang pemberhentian sebagai anggota dan ia melanggar hak kliennya untuk bebas berperpesatuan.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah yang mempengerusikan panel tiga hakim termasuk Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal menetapkan Khamis ini sebagai tarikh membuat keputusan berhubung rayuan Anina.

Pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman Anina dengan alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaiannya dalam Umno setelah membenarkan permohonan Tengku Adnan dan Ab Rauf untuk mengetepikan saman itu.

Pada 5 Oktober tahun lepas, Anina memfailkan saman terhadap Tengku Adnan dan Ab Rauf, antara lain, bagi mendapatkan perintah bahawa dua surat pemecatan yang dikeluarkan Tengku Adnan adalah tidak sah dan tidak menjejaskan keahliannya dalam Umno. 
Bernama / Foto FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-