Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, April 7, 2016

Laporan PAC buktikan Najib tak bersalah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 APRIL 2016
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media bersama wartawan Malaysia berkaitan Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Asean yang berakhir Selasa. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membuktikan bahawa tiada salah laku jenayah dalam syarikat milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang didakwa pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan PAC itu turut mengesahkan bahawa tiada sebarang penyelewengan kewangan dan tiada duit yang hilang seperti didakwa sebelum ini.

“PAC adalah jawatankuasa bi-partisan yang dianggotai oleh wakil pembangkang dan kerajaan. Proses siasatan yang dijalankan secara transparen dengan memanggil saksi-saksi yang berkaitan serta menggunakan dokumen-dokumen sokongan yang sah,” katanya.

Berdasarkan laporan PAC hari ini, hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat strategik itu 'kurang memuaskan', yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Namun, PAC mendapati bahawa kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Dalam pada itu, Azalina berkata laporan itu sekali gus mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja tidak melakukan sebarang kesalahan, malah tidak menyumbangkan kepada kesalahan jenayah.

“Terbukti segala tuduhan dan tohmahan terhadap Perdana Menteri selama ini adalah tidak berasas dan hanya bermotifkan politik semata-mata yang berniat untuk menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik,” katanya.

Laporan setebal 106 halaman itu turut mendedahkan terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci, termasuk penelitian impak terhadap aliran tunai syarikat.

PAC berpendapat Lembaga Penasihat syarikat perlu dimansuhkan bersama Artikel 117 dalam memorandum dan artikel syarikat, dengan segala rujukan kepada Perdana Menteri perlu ditukar kepada Menteri Kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Anak-anak syarikat dan aset milik kumpulan 1MDB seperti Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, tanah Air Itam dan tanah Pulau Indah seharusnya diserahkan kepada MKD supaya dapat dikawal selia dan diuruskan dengan lebih rapi dan teliti.

Setelah beroperasi lima tahun, 1MDB, anak syarikat milik penuh kerajaan, menghadapi masalah ketidakseimbangan aliran tunai pada November 2014.

Kesimpulannya, hasil siasatan PAC sejak 19 Mei tahun lepas mendapati jumlah hutang 1MDB bermula pada tahap RM5 bilion pada 2009 dan meningkat kepada RM42 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014.

Pada Januari 2016, hutang tersebut mencecah RM50 bilion berbanding aset RM53 bilion, dengan 1MDB membelanjakan RM3.3 bilion sebagai pembayaran faedah ke atas hutang antara 1 April 2014 dan 31 Mac 2015 (anggaran yang belum diaudit).