Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, April 16, 2016

PAS gesa SPRM percepat siasatan terhadap Guan Eng

PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan berhubung kes penjualan tanah di Taman Manggis dan pembelian banglo yang melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, SPRM perlu segera menyiasat aduan yang telah dibuat berkaitan kes berkenaan demi kepentingan dan keadilan semua pihak.

"Pihak berkuasa harus bertindak segera dengan memanggil semua pihak berkaitan dalam isu tersebut sama ada yang dianggap suspek mahupun berkemungkinan menjadi saksi," Utusan Malaysia melaporkannya sebagai berkata.

"Tindakan segera berdasarkan undang-undang dan prosedurnya harus diambil tanpa lengah lagi memandangkan pihak yang terdakwa (Guan Eng) sendiri menyatakan sedia untuk disiasat," kata laporan itu lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya mendakwa Lim membeli sebuah banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn dengan harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran.

Shabudin juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.

Bagi membuktikan tuduhan rasuah terhadapnya tidak berasas, Lim juga sebelum ini turut meminta SPRM segera menjalankan siasatan berhubung isu pembelian rumahnya yang dilapor berharga RM2.8 juta.