Saturday, April 2, 2016

Pemuda Pas tanya mana pergi peruntukan RM400j

SITI FATIHAH AWANG
2 APRIL 2016
Gambar hiasan.
KOTA BHARU – Pemuda Pas Negeri mohon satu perincian teliti dibuat mengenai peruntukan RM400 juta diberikan kepada negeri ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika benar RM400 juta tersebut diberikan kepada Kelantan, maka kerajaan pusat haruslah sediakan satu laporan penuh berkenaan dengan penyaluran wang tersebut.

“Jika ia diberikan kepada kerajaan negeri, maka kerajaan negeri perlu perincian ke mana duit itu disalurkan. Sama juga dengan kerajaan persekutuan, jika ia disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Apa yang penting, adakah benar ia disalurkan kepada kerajaan negeri? Ia agak pelik kerana kalau masuk dalam kerajaan negeri pun, sudah semestinya ia merupakan satu keperluan yang melibatkan pembangunan negeri iaitu berkaitan dengan bekalan air dan jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Najib ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat kelmarin yang memberitahu sebanyak RM400 juta diperuntukkan kepada Kelantan tahun lalu, menjadikan negeri tersebut antara penerima peruntukan tertinggi daripada kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu tidak termasuk peruntukan kepada agensi-agensi negeri, wang ihsan dan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Najib menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) yang ingin tahu sama ada keseluruhan peruntukan RM400 juta kepada Kelantan hanya untuk kerajaan negeri atau termasuk untuk agensi-agensi lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-