Sunday, April 24, 2016

PKR, DAP masih berbalah kerusi di saat terakhir

Radzi Razak

Kepimpinan DAP percaya kepimpinan PKR akan mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
MIRI: Tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk penamaan calon, namun PKR dan DAP masih belum pasti dengan peruntukan kerusi yang dipersetujui sesama mereka sebelum ini.

Bagi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, beliau yakin PKR akan menghormati persetujuan yang telah dicapai itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau masih percaya kepada kepimpinan PKR untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan beliau sendiri akan memastikan DAP juga kekal dengan jaminan mereka.

“Sila rujuk kenyataan saya dan Lim Kit Siang bahawa kami akan menghormati persetujuan. Kami menyokong PKR di Batu Kitang kerana kami tidak mahu pertembungan tiga penjuru.

“Kami akan mematuhi perjanjian dan esok ketika penamaan calon, saya yakin PKR juga akan mematuhinya,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat DAP Miri hari ini.

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula menggesa DAP agar tidak terus “masuk campur” berhubung kerusi yang berpotensi ditandingi PKR, sebaliknya menggunakan baki masa ini untuk berunding.

“Kami merayu (DAP) untuk menarik semula tuntutan terhadap kerusi-kerusi yang telah ditandingi PKR dan telah diselaras oleh kami hampir sedekad.

“Dengan hanya tinggal beberapa jam sebelum penamaan calon, kami menggesa (DAP) untuk kembali ke meja rundingan dan menjamin situasi menang-menang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber memberitahu FMT bahawa kepimpinan PKR dan DAP Sarawak pada masa ini “sedang dalam perbincangan terakhir” berhubung soal itu.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali membuat seruan sama terhadap DAP dan mengecam parti itu menekan PKR Sarawak agar tidak meneruskan rancangan mereka untuk bertanding di 40 DUN.

Hari ini juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen membuat seruan terakhir kepada PKR dengan menggesa parti itu mematuhi persetujuan yang telah dicapai pemimpin kedua-dua parti, atau berhadapan dengan calon mereka di DUN Batu Kitang.

Beliau juga mendedahkan perjanjian yang telah ditandatangani Azmin dan Guan Eng berhubung peruntukan kerusi di 13 kawasan.

Menurut perjanjian itu, PKR bersetuju untuk bertanding di Batu Kitang, Marudi, Layar, Machan dan Belaga, manakala DAP bertanding di Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah, dan Murum serta melepaskan Batu Kitang kepada PKR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-