Sunday, April 10, 2016

Portal lapor spekulasi Ezam sertai PKR

Sebuah portal menyiarkan spekulasi bahawa bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu memperkukuhkan politik Presiden parti itu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Memetik sumber, laman portal SuaraTV melaporkan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan bersama bekas ketua pemuda PKR itu.

“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telah pun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.

“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” kata sumber itu dipetik sebagai berkata.

SuaraTV turut melaporkan antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam PKR yang ketika ini didakwa sedang didominasi oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali.

“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.

“Azmin telah mengunakan kesempatan sebagai menteri besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya lagi.

Ezam meninggalkan PKR pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Pada 2010 Ezam kemudian dilantik sebagai senator. Bagaimanapun selepas tempoh beliau sebagai senator berakhir pada 2014, beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform.

Beliau juga didakwa dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014. Namun sejak 1 April lalu, Ezam didakwa tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Malaysiakini juga telah menghubungi Ezam untuk mendapatkan komen berhubung perkara ini namun masih tidak berjaya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-