Monday, April 25, 2016

PRN Sarawak: PH jadi pakatan tak boleh haraf

OLEH RADZUAN HASSAN
Kalau di Semenanjung Pakatan Harapan (PH) nampak bersepakat namun dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini mereka huru hara.

Sebaik sahaja selesai proses penamaan calon hari ini PKR dan DAP 'berebut' enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jelas tidak ada kesepakatan.

Hasrat pembangkang mahu satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) nampaknya semua 'ke laut'.

Keenam-enam DUN melibatkan pertembungan PKR dan DAP melawan calon BN ialah di Mulu, Senadin, Murum, Ngemah, Simanggang dan Bukit Simunja.

Malah kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini yang mengaku memberi kebenaran kepada wakil parti itu di Sarawak bertanding di kerusi yang sama dengan calon DAP dikatakan bakal mencetus perbalahan PH di kemudian hari.

Jumlah yang sama juga melihatkan pertembungan salah satu parti komponen PH, Parti Amanah Negara (PAN) yang menentang Pas pada pilihan raya negeri kali ini selain calon BN.

Keenam-enam kerusi DUN terbabit ialah Beting, Maro, Sibuyau, Sadung Jaya, Muara Tuang dan Samariang.

Ternyata viral mengatakan Pas menang tanpa bertanding DUN Samariang tidak menjadi kenyataan apabila Suruhanjaya Pilihanraya meluluskan calon lain bertanding walaupun selepas mendapat bantahan.

Walaupun Pas dan PAN bukan lagi sekelambu namun PRN Sarawak itu menjadi medan pertama menguji sokongan kedua-dua parti itu sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 kelak.

Tiga DUN pula membabitkan calon bebas iaitu Samalaju, Simanggang dan Bukit Simunja. Kerusi DUN Simanggang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu PKR, Bebas, DAP dan BN.

Kalau masa penamaan calon, parti-parti pembangkang tidak sebulu nampaknya kempen yang bermula malam ini bakal menyaksikan mereka akan 'berperang' sesama sendiri.

Sama ada pertembungan calon pembangkang itu memberi kelebihan kepada calon BN atau tidak ia belum dapat ditentukan kerana mungkin ada yang menarik diri.--MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-