Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, April 24, 2016

Protege Zakir pernah ajak Guan Eng masuk Islam

OLEH RADZUAN HASSAN DI KUALA LUMPUR
Kamarudin bersama Zakir.
Presiden Islamic Propagation Society International (IPSI), Kamarudin Abdullah mengaku pernah mengajak Lim Guan Eng masuk Islam.

Protege Dr. Zakir Naik itu mengajak Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP itu secara berdepan sambil menyatakan penyelesaian terbaik dalam segala masalah ialah Islam.

Malah beliau juga pernah mengajak ayah Guan Eng, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh.

"Lupa politik sat..ajak Guan Eng masuk Islam, ajak bapa dia, Kit Siang masuk Islam.

"Saya masa kerja di airport (lapangan terbang) saya ajak Kit Siang masuk Islam, ajak (mendiang) Karpal Singh masuk Islam, ajak Guan Eng masuk Islam.

"Saya cakap direct (berdepan) dengan dia..Islam beri penyelesaian kepada segala masalah yang tidak ada agama dan sistem lain boleh beri," ujarnya dalam satu kuliahnya di Pulau Pinang yang menjadi viral di media sosial hari ini.

Terdahulu, Kamarudin menyatakan kebimbangan mengenai nasib orang Islam di Pulau Pinang sekiranya umat Islam tidak bersatu.

"Siapa sangka DAP akan perintah Pulau Pinang? Dua penggal..politik, politik juga tapi Allah nak tunjuk. Hang tak buat keje hang punya nasib diganti orang lain, jangan marah.. (dalam) politik kita tak boleh tidur. Kita tidak tahu mungkin 10 tahun..hari ini nampak okay tapi satu hari nanti kita tak boleh laung azan macam Singapura," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya perkara itu berlaku tetapi perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak mendaulatkan Islam.

Terdahulu, Kamarudin mengajak umat Islam berdakwah setiap hari mengajak orang memeluk Islam kerana pahala itu bakal menjadi 'peneman' semasa di alam kubur.

Beliau juga memberi tip mudah seperti menghadiahkan terjemahan al Quran dan buku agama kepada akan bukan muslim dengan harapan mereka mendapat hidayah satu hari nanti.

Beliau juga mengimbas kembali bagaimana beliau memeluk agama Islam 27 tahun lalu selepas tertarik dengan al Quran dan tidak pernah mendapat dakwah daripada rakan-rakan Melayu di Pulau Pinang.

"Kalau saya mati ketika itu,kalau saya masuk neraka sebab tak kenal Islam, saya akan salahkan tuan-tuan semua (kerana tidak berdakwah kepadanya) Pulau Pinang ramai umat Islam tetapi seorang pun tidak mendakwahnya.

"Kita lupa amanah yang Allah perintahkan. Tak tau cerita pasal Islam, suruh depa mai IPSI," katanya lagi.--MalaysiaGazette