Monday, April 11, 2016

Puluhan ribu penuhi stadium dengar ceramah Dr Zakir Naik

April 11, 2016 Berita Utama
KUALA NERUS, Isnin – Tanpa mempedulikan bantahan daripada penganut Hindu yang tidak puas hati kehadiran pendakwah Islam terkenal dari India, Dr Zakir Naik, sejak kelmarin, kerajaan Terengganu tetap meneruskan programnya malam tadi.

Sambutan menggalakan terhadap program diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak itu memang sudah dijangka dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung.

Ceramah Dr Zakir bermula jam 9.45 malam, namun stadium mula dipenuhi seawal jam 7.30 malam, malah ada pengunjung yang terpaksa mendengar ceramah itu dari luar kerana semua tempat duduk stadium sudah penuh.

Beliau yang tiba di Terengganu semalam menyampaikan ceramah bertajuk ‘The Importance of Unity Among Muslim Ummah’ selama dua jam, sebelum orang ramai diberi peluang menyoalnya selama sejam.

Beliau dijangka berada di Terengganu selama lima hari dan akan menyampaikan ceramah di pelbagai tempat termasuk di universiti berkaitan perpaduan dan kekuatan Islam. Kehadiran beliau di Terengganu bagi memenuhi undangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, dalam tazkirah ringkas pada majlis makan malam di Hotel Primula di Kuala Terengganu, Dr Zakir menggesa umat Islam memanfaatkan pelbagai saluran media untuk memperbetulkan persepsi salah mengenai Islam yang disebarkan media Barat.

Beliau berkata, media adalah cara terbaik dan paling efektif untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai.

“Saya melihat kita (umat Islam) amat terkebelakang dalam menyebarkan dakwah Islamiah. Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk memperbetulkan persepsi salah mengenai Islam kepada masyarakat dunia,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Ahmad Razif.

Sejak kelmarin, gerakan hak asasi manusia Hindu, Hindraf Makkal Sakthi, menggesa kerajaan untuk tidak membenarkan Dr Zakir daripada menyampaikan siri ceramahnya di Kuala Lumpur dan Terengganu bulan ini.

Kumpulan itu mendakwa kononnya ajaran yang disampaikan oleh Dr Zakir tidak sejajar dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Semalam, Pemuda MIC pula campur tangan dalam urusan agama dan umat Islam apabila Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh berkata, pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menghalang Dr Zakir berceramah kerana bimbang pengaruhnya terhadap penganut agama lain di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-