Tuesday, April 19, 2016

Saya kesal - Nazir

Nazir Razak
Datuk Seri Nazir Razak mengesahkan mengambil cuti sementara bagi membolehkan firma audit Ernst & Young menjalankan semakan bebas berhubung transaksi pemindahan tunai sebanyak AS$7 juta oleh beliau kepada ahli-ahli politik Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum pada tahun 2013.

Cuti yang diambil Nazir secara sukarela itu bermula tamat operasi perniagaan perbankan itu petang tadi.

Pengerusi CIMB Group (CIMB) berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan integriti dan urus tadbir korporat entiti itu berada pada tahap tertinggi.

Adik kepada Perdana Menteri itu mengesahkan kesahihan pemindahan wang tersebut tetapi tidak pernah berkompromi dengan kedudukannya.

"Untuk rekod peristiwa ini berlaku tiga tahun lalu, pada tahun 2013.

"Abang saya telah meminta bantuan dan saya bersetuju selepas saya akses ia tidak menyalahi undang-undang, tidak menyalahguna kedudukannya di CIMB atau sumber-sumber di CIMB.

"Saya bertindak pada ketika itu berdasarkan apa yang saya ketahui ketika itu dan sudah tentu mengambil kira semua kontroversi 1MDB dan isu dana politik sejak 2014, saya tidak pernah membenarkan reputasi CIMB dalam keadaan risiko.

"Saya telah berkecimpung dalam perbankan selama 26 tahun dan telah mampu melaluinya kerana tahu hukum dan etika," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung luar biasa ke-59 di sini hari ini.

Pada sidang akhbar yang menjadi tumpuan media itu, Nazir mengakui itulah kali pertama beliau membantu Najib memindahkan wang untuk tujuan politik.

Nazir yang begitu berhati-hati menjawab soalan pengamal media berkata, lembaga pengarah CIMB Group telah mengadakan mesyuarat pada 5 April lalu dan beliau telah dijemput untuk menjelaskan berhubung pemindahan dana berkenaan.

"Selepas itu, saya meminta diri supaya lembaga pengarah boleh berbincang untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Pada akhir mesyuarat itu, lembaga pengarah memutus untuk melaksanakan semakan oleh badan luar dan memilih Ernst & Young," katanya.

Beliau memberitahu, semakan bebas itu akan mengambil beberapa minggu untuk disiapkan.

"Selepas itu barulah lembaga pengarah memutuskan sama ada mahu saya berada di sini atau tidak," tambahnya yang telah dipilih semula untuk menjadi Pengerusi CIMB Holdings pada mesyuarat agung luar biasa itu.

Nazir berkata, tidak ada keperluan baginya untuk berterus-terang mengenai isu tersebut sebelum ia bocor.

Beliau mengakui kesal kerana terlibat dalam pemindahan wang tersebut sehingga nama beliau diheret sama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bebas dan Pengerusi Lembaga Pengarah CIMB Bank Berhad, Datuk Zainal Abidin Putih berkata, keputusan bercuti sementara itu dibuat oleh Nazir secara sukarela.

Dalam kenyataan petang ini, Zainal Abidin berkata, lembaga pengarah menerima dan menghormati keputusan itu kerana yakin beliau mendukung tadbir urus korporat yang tinggi. - MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-