Sunday, April 24, 2016

Suami isteri ditahan cetak wang palsu RM100

by ANA GHOIB
Polis Selangor menahan tiga lelaki dan sepasang suami isteri kerana didapati terlibat dalam sindiket pemalsuan wang di daerah Kuala Langat dalam serbuan di Banting, dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Mohd Sakri Arifin berkata, serbuan pada pukul 2.30 pagi itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Jerum, Jenjarum.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai peralatan pemalsuan wang termasuk wang cetakan haram disimpan di dalam rumah berkenaan.

“Kumpulan ini disyaki menjalankan kegiatan pemalsuan wang sejak dua minggu lepas dan serbuan ini hasil maklumat yang tersebar di laman sosial oleh orang awam.

“Mereka tidak menggunakan peralatan canggih untuk hasilkan wang palsu, cuma sekadar mesin pencetak biasa namun dibuat kemas untuk memperdaya orang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Sakri berkata pelbagai barangan dirampas dalam serbuan berkenaan antaranya empat sampul surat berisi 40 keping wang palsu bernilai RM100, 27 keping wang palsu RM100 dalam bentuk helaian yang belum dipotong dan 43 keping wang palsu RM100 yang masih belum lengkap dicetak.

Selain itu katanya, beberapa peralatan komputer termasuk sebuah mesin pencetak, sekotak pelekat lut sinar dipercayai untuk memberi impak kepada wang palsu, seunit pengering rambut serta empat telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas.

Beliau berkata kesemua suspek berumur lingkungan 28 hingga 48 tahun itu tiada rekod kesalahan lampau dan mereka direman antara lima hari ke seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489D dan 489C Kanun Keseksaan. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-