Wednesday, April 27, 2016

Timbalan Zeti diumum gabenor baru Bank Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara yang baru, berkuat kuasa 1 Mei.

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Muhammad untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Abdul Aziz.

Dalam kenyataannya, Najib berkata, kerajaan sangat berkeyakinan di bawah kepimpinan Muhammad, bank pusat itu akan terus memberi sumbangan dalam membantu kerajaan, memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara.

"Serta mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk juga meneruskan usaha Bank Negara Malaysia untuk membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya," katanya.

Muhammad yang sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak 2010 memegang sijil Sarjana Universiti Harvard dari Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, Najib turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr Zeti atas segala sumbangan beliau sebagai gabenor Bank Negara ketujuh.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Dr Zeti di atas segala sumbangan cemerlang beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Gabenor Bank Negara yang ketujuh," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-