Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, April 8, 2016

Ulat sampah dalam lauk ayam pedas kantin sekolah

FMT Reporters | April 8, 2016
Kira-kira 29 murid yang memakan makanan nasi lauk ayam pedas mengalami simptom sama selepas mengakui melihat ulat sampah dalam isi ayam yang mereka makan.
PETALING JAYA:  Lagi kes keracunan makanan!

Kali ini membabitkan hampir 30 murid perempuan di sebuah sekolah kebangsaan di Kota Bharu yang mengadu sakit perut, loya, muntah dan cirit-birit selepas makan nasi ayam berlauk pedas.

“Ketika sedang makan saya dapat merasakan lauk masih sejuk seperti baru dikeluarkan dari peti ais. Walaupun pada mulanya tidak merasa apa-apa, tetapi sedang saya makan ayam, saya ternampak ulat sampah dan terus berhenti makan isi ayam itu,” kata seorang murid tahun enam, Nurul Eimie Shafiqah Mohd Hoiri, 12 mengenang kejadian pada waktu rehat pukul 10.30 pagi semalam.

Kira-kira 29 murid yang memakan makanan nasi lauk ayam pedas mengalami simptom sama selepas mengakui melihat ulat sampah dalam isi ayam yang mereka makan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, makanan itu disediakan pengusaha kantin sejak jam 5 pagi dan hanya dihidangkan kepada murid pada waktu rehat sekitar jam 9.45 pagi sehingga jam 10.45 pagi.

“Dari siasatan dijalankan di klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh terhadap murid terlibat, hampir kesemua mereka yang dirawat mengalami simptom muntah, loya, sakit perut serta cirit-birit.

“Bagaimanapun, mereka dilaporkan stabil dan hanya mengalami gejala ringan serta dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan media, lapor Sinar Harian.

Ahmad Razin berkata, makanan ayam pedas itu disyaki dijangkiti bakteria makanan jenis Bacillus Cereus Gastroenteritis dan pihaknya masih menjalankan siasatan dan akan menunggu laporan selanjutnya.

Dalam perkembangan kes itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Jaafar Ismail turut mengadakan lawatan ke sekolah terbabit semalam.

Jaafar berkata, ekoran kejadian itu, kantin terbabit diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Kelantan selama 14 hari.

“Buat masa ini, dapur kantin disita dan pengusahanya tidak dibenarkan berniaga sehinggalah siasatan selesai.

“Buat sementara waktu, kita menyediakan bekalan makanan kepada murid-murid dengan bekalan makanan darurat dari SK Long Ghafar,” katanya.