Saturday, May 21, 2016

Amanah tak faham prinsip politik matang

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
21 MEI 2016
Ir Khairil Nizam berucap pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan. - Foto Facebook Pemuda Pas Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyifatkan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memahami prinsip budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa parti Islam itu.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Amanah menempelak sikap Pas terutamanya dalam mengartikulasikan hudud dan negara Islam.

"Walhal mereka sendiri cenderung ke arah aliran pemikiran yang dipopularkan orientalis Barat seperti Oliver Roy dan Asef Bayat.

"Tidak hairan mereka bangga mendakwa Amanah adalah parti politik Islam generasi kedua seperti mana Parti Adelet vi Kalkinma (AK) di Turki dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.

"Sedangkan Pas masih kekal relevan dan dinamik. Tawaduklah dalam berbicara, cermatilah dalam berprasangka," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Pemuda Pas Wilayah ke-31, di sini, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap gopoh DAP dalam menyerang Pas.

"Egoisme, sarkastik dan fitnah terus menjalar sehingga melupakan budi politik Pas.

"Akhirnya DAP turut mengiktiraf bahawa keberadaan Pas adalah satu entiti strategik untuk membina sebuah negara Malaysia yang baharu," katanya.

Tambahnya, Pas sedang merintis blok politik ketiga dan merencana politik rentas kaum dengan mengupayakan secara optimum peranan Dewan Himpunan Pas.

"Termasuk mengukuhkan gerakan masyarakat sivil. Teruskanlah dengan sandiwara politik picisan DAP yang oportunis dan cauvinis," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-