Wednesday, May 18, 2016

Bahana muat naik gambar palsu PM

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.
KUALA LUMPUR: Seorang blogger sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan memuat naik pautan memaparkan gambar palsu perdana menteri ke laman Facebooknya bagi bertujuan menyakitkan hati orang lain.

Abdul Muhaimin Mohd Muhayedi, 27, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook “Adam Mukhriz Muhayeddin” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 1 tengah hari, 20 Oktober 2015.

Pautan itu kemudiannya dibaca seorang blogger lain di Blok A Pangsapuri Ampang Mewah, Jalan Mewah 6, Ampang Jaya pada jam 9.45 pagi, 22 Oktober 2015.

Abdul Muhaimin didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar membantah jaminan itu kerana anak guamnya tidak mempunyai sebarang kebarangkalian untuk melarikan diri dan juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan akan hadir ke mahkamah pada mana-mana tarikh ditetapkan.

“Kes ini tidak memerlukan sebarang jaminan dari segi wang ringgit, sepanjang tempoh laporan polis dibuat sehingga kini, tertuduh telah beri kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat, polis serta pihak pendakwa raya,” katanya.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-