Monday, May 16, 2016

'Berjiwa UMNO' Konon....

Seperti yang diduga, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya bersuara lantang di khalayak ramai ‘menikam’ UMNO secara terang-terangan mahu BN ditewas walau apa cara sekalipun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Mahathir dalam kenyataannya dilaporkan mahu rakyat di dua parlimen itu menyokong siapa sekali pun yang dicalonkan parti lain, asalkan UMNO yang bakal mewakili BN tewas pada dua PRK berkenaan.

Mungkin benar Mahathir sudah keluar dari parti dan bukan lagi ahli UMNO. Namun katanya, anak beliau Dato’ Seri Mukhriz Mahathir pernah menyatakan konon bapanya itu walau keluar dari parti, namun ‘jiwanya tetap UMNO’.

Namun sekiranya difikirkan secara logik akal yang waras, tidak gila, tidak mabuk dan tidak nyanyuk, adalah jelas apa yang terbit dari mulut Mahathir yang berusia lebih 90 tahun itu menunjukkan beliau tidak lagi berjiwa UMNO.

Pada pandangan penulis, sekiranya marah pada pemimpin yang menjadi Presiden UMNO sekali pun, seseorang yang berjiwa UMNO tulen tidak wajar melampiaskan kemarahannya terhadap parti yang konon ‘tebal dijiwanya’.

Namun apa yang dituturkan Mahathir itu lebih menjurus kepada pepatah Melayu, ‘marahkan nyamuk, dibakarnya kelambu’. Penulis tidak pasti beliau ingat atau tidak pada pepatah tersebut. Adakah semakin tua maka Mahathir semakin mudah lupa?

Sewaktu beliau berkuasa dulu, sesiapa saja yang keluar UMNO dan kemudian menyerang UMNO dari luar, serta menjejaskan kepentingan parti khususnya ketika berdepan dengan pilihan raya, mereka-mereka itu sering dilabel sebagai ‘pengkhianat’.

Mereka-mereka yang dituduh sebagai ‘pengkhianat’ itu juga dulu mendakwa mereka ‘sayang pada parti’ dan cuma berseteru dengan Presiden UMNO sahaja. Namun alasan tersebut tidak dipeduli kerana ia menjejaskan kepentingan parti.
Dan kini, Mahathir pun melakukan perkara yang serupa? Apa kata Dato’ Seri Mukhriz bila bapanya sendiri mahu UMNO ditewaskan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar? Apakah beliau juga memiliki pendirian yang serupa? Bagaimana pula dengan Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Shafie Apdal?

Ketiga-tiga ‘geng Mahathir’ itu masih lagi merupakan pemimpin UMNO yang sah. Mereka belum digantung, dipecat atau umumkan diri keluar dari parti. Sekiranya mereka mempunyai pendirian yang sama seperti Mahathir, apakah mereka wajar lagi menganggap diri mereka sebagai ‘ahli UMNO’?

Namun sekiranya ketiga-tiga mereka membantah kenyataan Mahathir itu, maka atas kepentingan parti dan bukan atas dasar peribadi, mereka wajar mengecam kenyataan ‘ketua pembangkang’ yang baru itu. Soalnya, beranikah mereka demi UMNO?

Mungkin itulah jadinya bila emosi dan kepentingan peribadi menguasai diri. Hingga kepentingan parti sendiri pun tergadai? Jika benar sangat mahu bersama Mahathir, umumlah keluar parti secara bermaruah. Jangan lagi cuba mengaku konon ‘berjiwa UMNO’, ramai yang ‘muntah’ nanti…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-